- Iklan -
Berita

Kerajaan PN menang undi belah bahagi di Parlimen

Undi belah bahagi dijalankan bagi peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika hadir pada mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika hadir pada mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Gambar: Bernama

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengalahkan blok pembangkang dalam undi belah bahagi peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengumumkan 20 ahli Parlimen tidak hadir, manakala 95 ahli Parlimen tidak bersetuju dan 105 ahli Parlimen bersetuju agar ia diluluskan.

11 orang mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri yang melibatkan lima portfolio iaitu Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Bahagian Undang-undang, Agama, Hal Ehwal Ekonomi dan Tugas-tugas Khas.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin diuji sekali lagi hari ini selepas berjaya meluluskan peringkat dasar Belanjawan 2021 dengan mudah Khamis lalu.

Walaupun terdapat percubaan untuk meminta undi belah bahagi pada ketika itu, hanya 13 daripada ahli Parlimen pembangkang bangun, kurang dua daripada disyaratkan untuk membenarkannya dilakukan.