- Iklan -
Berita

Dr Mahathir jelaskan mengapa hadir ke Kongres Maruah Melayu

Beliau berkata kehadirannya bertujuan menghalang 'kleptokrat' menjadikannya sebagai pentas perkauman dan anti bukan Melayu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan beliau hadir ke Kongres Maruah Melayu tahun lepas, mengatakan ia bertujuan menghalang “kleptokrat” menjadikannya sebagai pentas perkauman dan anti bukan Melayu.

Bekas perdana menteri itu berkata, pada ketika itu, orang Melayu percaya tidak sedar isu mengenai Melayu dan Islam itu ditimbulkan untuk membebas diri “penjenayah-penjenayah” daripada menghadapi tindakan undang-undang.

“Kerana itu saya bersetuju hadir ke Kongres Maruah Melayu yang hari ini diguna sebagai tuduhan terhadap saya yang menyokong ke arah pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika ada yang masih ingat, kehadiran saya ke kongres itu saya gunakan untuk ingatkan orang Melayu mengenai perlunya bekerja keras dan mengubah sikap jika mahu kekal bersaing pada masa kini.”

Tahun lalu Pusat Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya menganjurkan Kongres Maruah Melayu yang dirasmikan Mahathir yang pada ketika itu adalah perdana menteri.

Antara yang hadir dalam kongres itu ialah pemimpin-pemimpin parti-parti Melayu-Islam seperti Bersatu, Umno, PAS dan Amanah.

Kenyataan Mahathir dikeluarkan hari ini bagi menjawab dakwaan Mohamed Azmin Ali yang mengatakan penubuhan PN adalah idea pengerusi Pejuang itu untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

“Jika ada yang masih ingat, kehadiran saya ke kongres itu saya gunakan untuk ingatkan orang Melayu mengenai perlunya bekerja keras dan mengubah sikap jika mahu kekal bersaing pada masa kini.”

“Saya sudah  berkali-kali terangkan bahawa ini tidak benar sama sekali kerana PN itu dianggotai oleh kleptokrat dan ditunjangi oleh Umno secara en-bloc.

“Jika saya merancangnya mengapa perlu saya tolak apabila ia menjadi kenyataan dan jika saya terima sudah pasti saya kekal sebagai perdana menteri seperti yang diakui sendiri oleh Azmin,” katanya.

Menurut Mahathir, perancang utama penubuhan kerajaan PN adalah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Azmin sendiri “yang mendapat hasil yang lumayan”.

“Jangan lupa ketika semua ini berlaku, kedudukan Azmin dalam Keadilan (PKR) dan juga PH amat terancam.

“Anwar dan penyokong-penyokongnya merancang dan berusaha untuk menjatuhkan Azmin dan ini bermula sejak pemilihan dalam Keadilan,” katanya.