- Iklan -
Berita

Peruntukan “durian runtuh” Jasa dicantas separuh selepas nama, imej ditukar

Pengumuman pengurangan itu dijangka diumumkan ketika ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa minggu depan.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah ketika mengumumkan Jasa dijenama semula sebagai J-KOM pada 25 November lalu. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah ketika mengumumkan Jasa dijenama semula sebagai J-KOM pada 25 November lalu. Gambar: Bernama

MalaysiaNow difahamkan peruntukan kontroversi RM85.5 juta yang diperoleh Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam Belanjawan 2021 mungkin akan dikurangkan.

Sumber berkata, peruntukan Jasa, yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), mungkin dikurangkan hampir separuh kira-kira RM40 juta.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang dihubungi tidak menolak kemungkinan peruntukan J-KOM yang diselia kementeriannya itu akan dikurangkan.

“Saya difahamkan menteri (Saifuddin Abdullah) akan mengurangkan separuh daripada peruntukan asal yang diumumkan Kementerian Kewangan 6 November lalu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Zahidi berkata perkara itu akan diumumkan semasa penggulungan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa yang bermula pada Isnin.



Khamis lalu Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat mengumumkan peruntukan untuk Jasa akan dikurangkan, tetapi tidak menyatakan sebarang jumlah.

Saifuddin baru-baru ini mengumumkan tugas utama J-KOM adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baru susulan pandemik Covid-19, dengan matlamat memperkasa masyarakat menerusi penekanan digitalisasi dan pengetahuan.

“Saya difahamkan menteri (Saifuddin Abdullah) akan mengurangkan separuh daripada peruntukan asal yang diumumkan Kementerian Kewangan 6 November lalu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau turut mengumumkan jabatan itu mempunyai fungsi dan peranan berbeza daripada Jasa, termasuk jaminan tiada lantikan dalam kalangan ahli politik.

Langkah itu sekaligus menafikan desas desus kononnya Jasa sebagai jabatan propaganda politik kerajaan.

Jasa berkembang daripada satu unit di bawah kementerian penerangan pada tahun 1958, kira-kira setahun selepas merdeka, selepas pilihan raya pertama diadakan negara yang pada ketika itu dikenali sebagai Malaya.

Namun, Jasa yang diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri sejak dua dekad lalu, dikritik sebagai alat propaganda Barisan Nasional dengan menggunakan dana awam.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengumumkan pembubaran Jasa selepas lima bulan mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2018.

Akan tetapi awal bulan ini, MalaysiaNow mendedahkan, Jasa tidak pernah dikuburkan, dan “dibiarkan hidup” melalui waran perjawatan iaitu dokumen perundangan dikeluarkan Perbendaharaan untuk memberi kuasa mewujudkan, menambah dan mengurangkan bilangan jawatan atau mengubah tangga gaji dan gred jawatan di jabatan kerajaan yang kekal aktif.