- Iklan -
Berita

Polis tahan 3 suspek ugut pegawai kastam guna peluru hidup

Kesemua suspek kini dalam tahanan reman selama empat hari untuk siasatan selanjutnya sehingga 1 Disember ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sarawak ACP Zulfikar Mohd Ghazali (kiri) dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sarawak yang baru SAC Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali pada majlis serah terima tugas di Dewan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak (IPK) hari ini. Gambar: Bernama
Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sarawak ACP Zulfikar Mohd Ghazali (kiri) dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sarawak yang baru SAC Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali pada majlis serah terima tugas di Dewan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak (IPK) hari ini. Gambar: Bernama

Polis Sarawak menahan tiga lelaki untuk siasatan berhubung kes ugutan terhadap seorang pegawai kanan kastam yang menerima dua butir peluru hidup di Kuching semalam, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang berumur antara 35 hingga 39 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat pegawai kastam berkenaan yang mendakwa menerima peluru hidup dalam satu bungkusan yang disertakan dengan nota berunsur ugutan, menyebut “got two bullets, one long one short, which one you want” di kediamannya di Jalan Matang di Kuching semalam.

“Motif kejadian dipercayai ada kaitan dengan operasi khas yang dijalankan oleh bahagian penguatkuasaan Kastam Kuching di satu daerah di Sarawak pada awal November dan operasi tersebut diketuai oleh pegawai kanan kastam berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek kini dalam tahanan reman selama empat hari untuk siasatan selanjutnya sehingga 1 Disember ini dan semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek terlibat dalam kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini masih mengesan seorang lagi suspek bernama Yong King Ling, beralamat di No 72, lorong 6, Taman Rejang Park, 96000 Sibu, Sarawak yang masih bebas dan merupakan perancang utama kes ugutan ini,” katanya.

Aidi memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai individu dikehendaki itu supaya menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Ramli Husin di talian 013-8968963 atau berhubung terus dengan mana-mana balai polis terdekat.

“Dua kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun,” tambahnya.