- Iklan -
Berita

Malaysia terima 12.8 juta vaksin Covid-19 tahun depan, kata PM

Ia diperoleh daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20% atau 6.4 juta rakyat negara ini,

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pfizer pada 9 November lalu menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95%. Gambar: AFP
Pfizer pada 9 November lalu menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95%. Gambar: AFP

Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20% atau 6.4 juta rakyat negara ini, demikian menurut Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.

Beliau berkata pemerolehan bekalan daripada Pfizer itu adalah hasil perjanjian pembelian awal ditandatangani kerajaan dengan syarikat itu melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa lalu.

“Perjanjian dengan syarikat berkenaan bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin itu sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat.

“Pfizer pada 9 November lalu menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95%,” katanya pada sidang media di sini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.