- Iklan -
Berita

Gagal tolak belanjawan, wakil rakyat PH dikecam pengguna media sosial

Kecaman itu dilakukan selepas Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar dengan mudah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama

Pakatan Harapan (PH) terus menerima kecaman orang ramai di media sosial, kira-kira 24 jam selepas Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar dengan mudah apabila majoriti ahli Parlimennya termasuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tidak meminta undi belah bahagi.

Perkembangan itu, menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong yang menjangkakan ahli Parlimen PH menolak Belanjawan 2021 selepas pelbagai kenyataan dikeluarkan mereka mengatakan ia bukan satu rancangan perbelanjaan yang baik.

Tinjauan MalaysiaNow di Facebook mendapati rata-rata orang ramai masih mempersoal tindakan mengejut wakil rakyat PH yang dilihat mengubah rancangan di saat akhir meskipun menegaskan tidak akan menyokong Belanjawan 2021 beberapa jam sebelum ucapan penggulungan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bermula.

Antara yang marah ialah Exco Selangor, Teng Chang Kim yang menyelar Ahli Parlimen Batu Kawan Kashturi Patto daripada partinya DAP kerana gagal menunaikan janji untuk menolak belanjawan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kalau kamu tidak berdiri di Parlimen untuk membantah, jangan kata di FB kamu membantah.

“Malu,” tulisnya di Facebook dipercayai merujuk kepada kenyataan Kashturi, beliau menentang Belanjawan 2021 yang dimuat naik beberapa jam sebelum ucapan penggulungan menteri kewangan.

Semalam, pengundian Belanjawan 2021 ditunggu-tunggu kerana kegagalan mendapatkan sokongan majoriti akan menyebabkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang dan pilihan raya umum mengejut di musim pandemik perlu diadakan.

Sementara itu, ramai pengguna media sosial turut mempertikaikan keputusan ahli Parlimen PH yang enggan berdiri bagi meminta undi belah bahagi.

“Kalau kamu tidak berdiri di Parlimen untuk membantah, jangan kata di FB kamu membantah.

Sebanyak 15 orang ahli Parlimen diperlukan sebagai syarat undi belah bahagi boleh dijalankan.

Bagaimanapun, hanya 13 orang yang berdiri.

Pengguna Facebook, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin menyifatkan tindakan wakil rakyat pembangkang tersebut sebagai sesuatu yang tak pernah dijangka.

“Selama hari ini pembangkang kecoh tak nak Jasa lah, belanjawan ni perlu ditolak lah. Hari ini nak bangun berdiri pun tak ada sorang pun berani!”

Manakala, MD Zaki pula percaya Anwar tidak pernah memiliki bilangan majoriti yang “kukuh” dan “meyakinkan” seperti diumumkan sebelum ini.

“Sokong atau tak, Anwar sedar dia tak ada nombor. Kalau sokong PN akan tumbang, tetapi belum tentu dia jadi PM 9.

“Kesimpulannya, segalanya adalah tentang cita-cita beliau semata-mata,” tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun, terdapat juga yang berterima kasih terhadap tindakan ahli Parlimen PH sehingga menyebabkan belanjawan tersebut lulus dengan mudah.

“Pembangkang gagal untuk undi belah bahagi kerana tak cukup 15 orang bangun. Belanjawan 2021 lulus. Terima kasih semua ahli Parlimen yang menyokong,” tulis Abdul Malek II di Facebook.

Semalam MalaysiaNow melaporkan terdapat arahan saat akhir diberikan Anwar kepada para pemimpin PH menyebabkan ahli Parlimen DAP dan PKR tidak meminta undi belah bahagi sehingga menyebabkan Belanjawan 2021 diluluskan dengan mudah.

Difahamkan, Anwar mengeluarkan arahan itu kepada ahli-ahli Parlimen PH selepas bekas perdana menteri, Najib Razak menarik diri daripada percubaan untuk menggagalkan Belanjawan 2021.