- Iklan -
Berita

Tiada penghujung: Khabar angin bertuip kencang menjelang undi belanjawan

Pelbagai khabar angin dan spekulasi bertaburan menjelang undi Belanjawan 2021 petang ini.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Kilang khabar angin politik Malaysia kembali menjelang undi penting Belanjawan 2021 petang ini, yang dilihat sebagai undi percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berbanding nilai peruntukan berbilion ringgit ketika negara bergelut memerangi pandemik Covid-19.

Wartawan MalaysiaNow berpeluang bercakap dengan beberapa ahli Parlimen dan pemimpin politik kanan di Parlimen, serta pemerhati politik dan sumber terdekat pembuat keputusan dalam parti politik, untuk mendapat gambaran mengenai perbincangan yang hangat diperkatakan.

Berikut antara beberapa spekulasi dan khabar angin yang berlegar-legar dan kerap diperkatakan sumber kami ketika rakyat Malaysia menanti dengan penuh sabar sama ada negara akan diganggu satu lagi krisis politik.

Bagaimanapun, semua spekulasi itu tidak dapat disahkan.

1. Perdana menteri interim

Satu daripada spekulasi yang bertiup adalah Muhyiddin akan meletak jawatan selepas undi belanjawan gagal. Yang di Pertuan Agong mungkin bertindak melantik perdana menteri interim. Perkara ini pernah terjadi sebelum ini ketika kerajaan Pakatan Harapan tumbang, dan istana melantik semula Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan itu sehingga ada calon yang memiliki sokongan majoriti dinamakan untuk jawatan perdana menteri. Beberapa sumber mengaitkan jawatan perdana menteri interim dengan beberapa nama termasuk Hishammuddin Hussein yang merupakan menteri luar negeri.

2. Muhyiddin kalah, pilihan raya mengejut diadakan

Selepas Agong menolak pelaksanaan darurat, jika perdana menteri gagal memperoleh sokongan belanjawan, mungkin akan memberi nasihat supaya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15. Hal ini kerana tidak ada seorangpun pemimpin memiliki majoriti bagi menyakinkan Agong untuk melantiknya sebagai perdana menteri.

3. Pengisytiharan Darurat

Pengisytiharan darurat di Batu Sapi bagi menangguhkan pilihan raya kecil di sana mungkin berulang sekiranya kerajaan Perikatan Nasional tumbang selepas gagal mendapat sokongan untuk meluluskan belanjawan. Agong berkemungkinan menggunakan kuasanya sekali lagi untuk mengisytiharkan darurat yang membolehkan dasar-dasar penting dilaksanakan demi kelangsungkan pentadbiran negara.

4. Najib ada 18 ahli Parlimen bersamanya untuk menggagalkan belanjawan

Khabar angin ini antara yang bertiup kencang dalam kalangan mereka yang menentang Muhyiddin termasuk penyokong Anwar Ibrahim yang mahu menghidupkan harapan untuk mendapatkan sokongan daripada ahli Parlimen lain kepada presiden PKR itu dalam usaha mengejar cita-cita menjadi perdana menteri.

5. Najib mengaku kalah, lawan lain kali

Najib Razak dan sekumpulan kecil pemberontak Umno, yang dikatakan melibatkan lima ahli Parlimen, mungkin mengambil keputusan “mengaku kalah” dan menyokong belanjawan, berikutkan kegagalan mendapatkan sokongan bagi menentang undi belanjawan. Dilaporkan beberapa pertemuan diadakan secara tertutup dengan ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menyakinkan mereka untuk menolak undi belanjawan. Bagaimanapun, Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) bersama 20 anggota Kabinat daripada BN mengeluarkan kenyataan sokongan penuh kepada kerajaan.

6. Muhyiddin dapat sokongan Warisan

Kemungkinan ini boleh berlaku, di sebalik beberapa rundingan antara pemimpin parti Sabah dan beberapa anggota Kabinet. Undi mereka dilihat amat penting untuk menggantikan kembali undi yang hilang daripada ahli Parlimen Umno dikaitkan dengan Najib. Daripada khabar angin yang sama, dikatakan Presiden Warisan Shafie Apdal tidak mahu berunding dan membuat keputusan untuk tidak menyokong Muhyiddin.