- Iklan -
Berita

Program i-Sinar KWSP diperluas kepada 8 juta pencarum terjejas

Had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Lapan juta pencarum bakal mendapat manfaat daripada Program i-Sinar.
Lapan juta pencarum bakal mendapat manfaat daripada Program i-Sinar.

Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas dengan lapan juta pencarum bakal mendapat manfaat kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Beliau mengumumkan had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Belanjawan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Kelonggaran itu diberi tanpa mengira sama ada pencarum terbabit terjejas pendapatan akibat hilang pekerjaan atau pekerja yang mengalami pengurangan pendapatan.

Beliau menambah, syarat baru itu turut merangkumi semua pencarum dalam sektor pekerjaan formal dan bekerja sendiri atau masih aktif mencarum atau sebaliknya.

“Selagi terjejas pendapatan dengan ketara, bolehlah mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

“Daripada dua juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih lapan juta ahli.”

Kelonggaran itu diberi tanpa mengira sama ada pencarum terbabit terjejas pendapatan akibat hilang pekerjaan atau pekerja yang mengalami pengurangan pendapatan.

Tengku Zafrul turut mengumumkan, mereka yang sebelum ini hanya dibenarkan mengeluarkan maksimum RM9,000 ini dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Mengulas mengenai moratarium katanya semua rakyat yang layak dapat akan diberikan secara automatik.

Katanya, golongan B40 mendapat lanjutan moratorium secara automatik sementara golongan M40 hanya perlu buat self-declaration untuk teruskan moratorium.

“Pelbagai pihak mempunyai persepsi yang berbeza mengenai belanjawan ini ertinya Belanjawan 2021 tidak lain tidak bukan dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara.

“Jelas sekali terdapat beberapa isu yang dapat perhatian dalam tiga kategori utama. Pertama bantuan aliran tunai rakyat perniagaan, bantuan tunai langsung dan ketiga bantuan kurangkan kadar pengangguran.

“Sehubungan itu, saya tidak mahu berdolak-dalik dan marilah kita berbicara tentang isu moratorium dan KWSP. Sebanyak 36 orang ahli Parlimen membangkitkan soalan-soalan moratorium. Saya menegaskan moaratorium bukan untuk sebilangan kecil tapi tersedia untuk semua rakyat.

“Tidak kira B40, M40 dan T20 semua layak mendapat dalam bentuk penangguhan, pengurangan dan penjadualan semula.”

Sebelum ini 82 ahli Parlimen mengambil bahagian membangkitkan pelbagai persoalan berhubung Belanjawan 2021.