- Iklan -
Berita

Petugas barisan hadapan dapat RM300, eBelia RM50, tambahan RM50 juta untuk Sabah antara 9 kategori terima tambahan belanjawan

Tiga kategori utama diberi penekanan dalam penggulungan Belanjawan 2021.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Bantuan khas kewangan secara "one off" kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300. Gambar: Bernama
Bantuan khas kewangan secara "one off" kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300. Gambar: Bernama

Tiga kategori utama yang diberi penekanan dalam penggulungan Belanjawan 2021 di peringkat dasar hari ini, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata pertama yang diberi perhatian adalah bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan.

“Kedua, bantuan kewangan langsung dan ketiga mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.

“Dalam bahasa mudahnya, kerajaan faham rakyat inginkan wang di dalam poket untuk hidup, untuk ‘survive’, untuk perbelanjaan keluarga dan anak-anak, membantu dengan hutang dan kos hidup, serta peluang kerja supaya mereka dapat menjana pendapatan dan kehidupan yang lebih bermaruah,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Di bawah kategori bantuan kewangan langsung, kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan secara “one off” kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300.

“Kerajaan mencadangkan program eBelia sebanyak RM50 secara one off ke dalam akaun e-dompet bagi mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang dijangka akan memanfaatkan lebih 1.5 juta belia.

“Untuk membantu mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi pengajian tinggi (IPTS) dalam konteks norma baru, kerajaan bersetuju untuk menambah baik program eBelia seperti berikut: a. Pertama: meningkatkan jumlah eBelia daripada RM50 kepada RM100; dan b. Kedua: memanjangkan inisiatif kepada 1.1 juta mahasiswa di IPT dan IPTS termasuk yang berumur lebih daripada 20 tahun.”

Kementerian Kewangan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada 26 Oktober lalu, sudah menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada kerajaan negeri Sabah khusus untuk memerangi pandemik Covid-19 kata Zafrul.

Di bawah kategori bantuan kewangan langsung, kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan secara “one off” kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300 ringgit.

Selain itu, peruntukan RM44 juta juga digunakan kementerian kesihatan dalam membendung gelombang wabak Covid-19 di Sabah.

“Pada hari ini, sebagai langkah susulan memerangi Covid-19 di Sabah, sukacita diumumkan Kementerian Kewangan akan menyalurkan dana tambahan RM50 juta lagi menggunakan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC) untuk negeri Sabah pada bulan Disember 2020.”

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju untuk meluaskan lagi kategori penerima pemberian one off kepada kategori “Pesara dan Bekas Polis” dengan implikasi penerima tambahan dianggarkan 40,000 orang lagi.

“Ini menjadikan jumlah penerima pemberian one off ini seramai 80 ribu orang dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM40 juta.

“Bantuan bagi pesawah, kerajaan bercadang untuk menyediakan peruntukan RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian.

“Bantuan khas ini dapat memanfaatkan petani yang terdiri dari pesawah, nelayan dan pengusaha akuakultur, pekebun dan penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran hasil tanaman kesan dari bencana alam.”

Zafrul berkata manakala bagi nelayan darat kerajaan setuju mencadangkan kenaikan kepada kadar Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar.

Katanya, bantuan musim tengkujuh akan diteruskan dengan bayaran RM300 sebulan akan dibayar pada bulan Disember 2020, Januari 2021 dan Disember 2021, kepada pekebun kecil yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS)yang akan memanfaatkan lebih daripada 300,000 pemilik kebun getah dan penoreh getah.

Menurut Zafrul, kerajaan maklum bahawa kadar elaun perumahan bagi negeri Sabah adalah yang tertinggi, dan penjawat awam yang berkhidmat di Sabah mendapat elaun lebih tinggi daripada penjawat yang berkhidmat di Sarawak atau Semenanjung. Kali terakhir kadar tersebut disemak adalah pada 30 April 2002.

Kementerian Kewangan juga bersetuju untuk mengkaji semula dan menyelaras kadar elaun perumahan bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Zafrul berkata, melalui Pakej Rangsangan Penjana, pemilik premis perniagaan atau pemberi sewa atau landlord yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada PKS, akan diberi potongan cukai khas.

“Potongan ini tertakluk kepada syarat pengurangan sewa hendaklah sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut. Sehubungan itu, sukacita saya umumkan bahawa potongan cukai khas bagi pengurangan sewa premis kepada PKS dilanjutkan enam bulan lagi sehingga Mac 2021 bagi membantu PKS yang terkesan akibat lanjutan PKPB.

“Kami mungkin tidak sempurna tetapi kami mendengar. Dalam lapan bulan ini sahaja, sudah empat Pakej Prihatin diumumkan dengan mendengar suara rakyat dan ahli Yang Berhormat sekalian. Dan untuk bulan-bulan yang mendatang, kami akan terus mendengar, kami akan terus memperhalusi bantuan kerajaan mengikut keadaan Covid-19 dan ekonomi semasa, Insya Allah.

“Dalam lapan bulan sahaja, kerajaan ini berjanji dan menunaikan janji dengan menyalurkan lebih RM21 bilion kepada lebih 10 juta penerima individu dan isi rumah setakat ini melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Pada tahun 2020, menerusi BSH dan BPN sahaja, ada isi rumah yang mendapat bantuan melebihi RM3,400 – ini belum mengambil kira bantuan-bantuan lain.”