- Iklan -
Berita

MQA tarik balik lantikan ahli majlis terpalit tuduhan pecah amanah RM2.8 juta

Mohamed Zaini sudah dimaklumkan mengenai penarikan semula pelantikannya yang berkuat kuasa minggu lepas.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Keputusan menarik balik lantikan tersebut dibuat MQA selaku pihak yang bertanggungjawab dalam membuat lantikan tersebut.
Keputusan menarik balik lantikan tersebut dibuat MQA selaku pihak yang bertanggungjawab dalam membuat lantikan tersebut.

Seorang individu terpalit dakwaan jenayah pecah amanah (CBT) ditarik balik pelantikannya sebagai ahli majlis Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selepas siasatan dalaman mendapati terdapat kes-kes berkaitannya yang masih belum diselesaikan pejabat Peguam Negara.

Keputusan menarik balik lantikan tersebut dibuat MQA selaku pihak yang bertanggungjawab dalam membuat lantikan tersebut.

Ketua Pengawai Eksekutif MQA Hussaini Omar berkata, penarikan balik lantikan terhadap Mohamed Zaini Amran dibuat pada minggu lalu.

“Lagipun, lantikan beliau belum dibawa ke pemakluman peringkat majlis.

“Bagi pihak MQA dan menteri memandang tinggi soal integriti seseorang yang akan dan sedang menyertai majlis. Integriti adalah nombor satu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Pada Januari Zaini, 64, berdepan sembilan pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM2.82 juta, dua tahun lalu.

Beliau turut dituduh dengan sembilan pertuduhan lain kerana menggunakan harta milik syarikat iaitu cek IDJ dengan memindahkan cek berkenaan daripada akaun bank IDJ ke akaun bank milik lima syarikat lain dengan nilai RM2.82 juta, tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat untuk keuntungan dirinya sendiri dan mana-mana orang lain.

“Lagipun, lantikan beliau belum dibawa ke pemakluman peringkat majlis.

Dilaporkan, kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 11 dan 13 April 2018.

Beliau bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan tersebut.

Sebelum ini, sumber dalaman KPT memaklumkan pelantikan Zaini ke dalam sidang majlis MQA dicurigai dan tidak disenangi beberapa pihak berikutan pertuduhan kes pecah amanah tersebut.

Beliau yang enggan dinamakan berkata, MQA sepatutnya lebih teliti dalam membuat pelantikan ahli majlis yang berfungsi untuk melulus rancangan dan dasar agensi itu.

“Pelantikan individu yang mempunyai masalah integriti akan menjejaskan keyakinan awam terhadap jaminan kualiti MQA dan mutu pendidikan tinggi Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussaini berkata Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad sudah dimaklumkan mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadap Zaini dengan beberapa siasatan dijalankan bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah adil dan tidak mempunyai unsur prejudis.

Atas sebab itu, katanya, selepas siasatan dibuat, menteri dan MQA memutuskan untuk menarik balik lantikan tersebut dan tidak menghebahkannya kepada media dan orang awam bagi menjaga nama baik banyak pihak.

“Zaini pun sudah maklum akan penarikan semula lantikan beliau. Dia pun memang terima (keputusan tersebut).

“Dan beliau juga maklum bahawa MQA adalah satu badan kualiti yang terunggul dalam negara dan yang mementingkan integriti” katanya.