- Iklan -
Berita

Malaysia harap Myanmar teruskan rundingan antarabangsa selesai isu Rohingya

Masalah wilayah Rakhine dan implikasinya ke atas pelarian etnik Rohingya harus ditangani dengan kadar segera.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak Rohingya di kem pelarian di wilayah Rakhine, Myanmar. Gambar: AP
Kanak-kanak Rohingya di kem pelarian di wilayah Rakhine, Myanmar. Gambar: AP

Malaysia berharap Myanmar tidak akan memberikan sebarang alasan mengelak daripada meneruskan rundingan bagi mencari penyelesaian komprehensif terhadap isu pelarian etnik Rohingya dan masalah wilayah Rakhine.

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata sebelum ini pihak berkuasa Myanmar memberikan alasan mereka terpaksa menangguhkan rundingan dengan negara berkepentingan bagi menyelesaikan isu pelarian Rohingya kerana sibuk dengan persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU).

“Ikhlas saya mahu nyatakan bahawa rundingan Malaysia dengan Myanmar sebelum ini tergendala kerana mereka terpaksa berhadapan dengan PRU dulu.

“Jadi sekarang ini dengan keputusan PRU sudah diketahui, kita mesti hidupkan semula rundingan dengan Myanmar untuk memastikan mereka tidak boleh lagi memberikan sebarang alasan.

“Justeru, Wisma Putra akan terus mendekati Myanmar dan saya sudah membangkitkan mengenai perkara ini dengan menteri luar republik berkenaan dalam mesyuarat menerusi sidang video baru-baru ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya Malaysia berpendapat masalah wilayah Rakhine dan implikasinya ke atas pelarian etnik Rohingya harus ditangani dengan kadar segera.

“Ikhlas saya mahu nyatakan bahawa rundingan Malaysia dengan Myanmar sebelum ini tergendala kerana mereka terpaksa berhadapan dengan PRU dulu.

“Berikutan itu pada Sidang Kemuncak Asean secara maya baru-baru ini Perdana Menteri mengulangi keperluan Asean untuk mencari penyelesaian komprehensif kepada krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine, Myanmar dan sekaligus isu pelarian Rohingya yang memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan negara-negara serantau, termasuk Malaysia. Malaysia tidak boleh menampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya.

“Sehubungan ini, Malaysia menggesa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) termasuk agensi-agensi PBB yang berkaitan untuk memberi kerjasama dalam mempercepatkan proses penghantaran balik pelarian Rohingya dan penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

“Tambahan daripada itu, Malaysia akan terus memberi tekanan menerusi platform Asean supaya Kerajaan Myanmar untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Preliminary Needs Assessment (PNA) yang telah disediakan oleh Asean-Erat bagi melaksanakan Penilaian Keperluan Komprehensif, dengan izin, Comprehensive Needs Assessment (CAN) dalam memastikan proses repatriasi mengambil kira pandangan etnik Rohingya agar mereka dapat pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah.”

Beliau berkata Malaysia juga menegaskan pendirian berkenaan isu Palestin ia bukanlah isu serantau, adalah penting bagi Malaysia menggunakan platform antarabangsa dan serantau untuk menyuarakan secara konsisten pendirian Malaysia berkenaan penyelesaian konflik Palestin-Israel.

“Perdana menteri dan saya telah menegaskan bahawa penyelesaian konflik tersebut adalah hanya menerusi, dengan izin, ‘Two-State Solution’ dan menggesa komuniti antarabangsa dan pertubuhan antarabangsa berkaitan untuk membincangkan langkah-langkah konkrit untuk dilaksanakan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang tertindas.”