- Iklan -
Berita

Kita lihat siapa khianati rakyat, kata Annuar Musa menjelang undi Belanjawan 2021

Ahli Parlimen BN tidak menolak belanjawan meskipun sewaktu menjadi gabungan di blok pembangkang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini. Gambar: AP
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini. Gambar: AP

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menegaskan ahli Parlimen gabungan itu berpendirian menyokong Belanjawan 2021 mengambil kira pentingnya kepada rakyat.

Katanya, BN tidak pernah menolak mana-mana pembentangan belanjawan meskipun sewaktu menjadi pembangkang.

“Apa lagi jika penolakan bajet membawa ketidakstabilan negara, rakyat lah yang jadi mangsa.

“Petang ini kita dapat lihat siapa khianati rakyat,” tulisnya di Twitter, hari ini.

Undi Belanjawan 2021 yang dijangka berlangsung petang ini dilihat getir disebabkan majoriti tipis dimiliki kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan memberitahu kesemua empat ahli Parlimen Pejuang akan menolak pembentangan belanjawan dan menggesa Muhyiddin meletak jawatan jika beliau tidak memiliki sokongan majoriti.

Ini berlaku ketika kerajaan menerima gesaan bertali arus daripada beberapa pihak yang meminta meminda peruntukan di dalam belanjawan tersebut.

Ini termasuk bekas perdana menteri Najib Razak yang menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran caruman secara “one-off” sebanyak RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Nasional Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium selama enam bulan.

Bagaimanapun, Annuar berkata, beliau yakin syor yang diberikan oleh ahli Parlimen Pekan itu mendapat perhatian Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz meskipun kedua-dua permintaan tersebut tiada di dalam pembentangan Belanjawan 2021.

“Ia bersifat polisi sahaja.

“Banyak big bosses yang riuh tapi kurang paham. Moratorium tak ada dalam bill yang dibentang untuk lulus.

“Mana ada moratorium automatik,” tulisnya lagi sambil menambah penganugerahan moratorium adalah kuasa pihak bank.

Katanya, kerajaan sekadar menggunakan kaedah tertentu untuk “arahkan” bank memberikan moratorium.

“Pokoknya, di mana ada merit, kerajaan elok laksana.”