- Iklan -
Berita

Kerajaan Muhyiddin selamat, Belanjawan 2021 lulus di peringkat dasar

Belanjawan 2021 akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa pada Isnin 30 November.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu. Gambar: AP
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu. Gambar: AP

Belanjawan 2021 lulus sebulat suara untuk bacaan untuk kali kedua di peringkat dasar.

Belanjawan 2021 akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa Isnin 30 November bermula dengan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Cubaan Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) memohon untuk undi belah bahagi gagal apabila tidak ramai daripada blok pembangkang yang lain bangun untuk menyokong usulnya.

Hanya 13 ahli Parlimen yang berdiri untuk menyokong cadangan Mahfuz selepas semakan dibuat oleh kakitangan Dewan Rakyat.

Pengundian hari ini adalah langkah pertama yang perlu dilalui belanjawan kerajaan Perikatan Nasional.

Selepas ini ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan yang akan bermula Isnin 30 November untuk diundi sekali lagi sebelum diluluskan.

Sebelum itu, berlaku pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang ketika Zafrul menggulung perbahasan.

Antaranya Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) yang berterusan menganggu sehingga Speaker termasuk memintanya memberikan laluan kepada menteri untuk menjawab.

Hanya 13 ahli Parlimen yang berdiri untuk menyokong cadangan Mahfuz selepas semakan dibuat oleh kakitangan Dewan Rakyat.

“Ini kelakuan yang memalukan. Kita sedang berbahas belanjawan. Semua rakyat nampak kelakuan kita,” kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak atau berdepan pengundian membabitkan kesemua ahli Parlimen yang pada ketika ini seramai 220 orang selepas kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi dan Gerik.

Sebelum ini Tengku Razaleigh Hamzah (Umno-Gua Musang) membuat keputusan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021 dipercayai berpunca rasa tidak puas hati terhadap Speaker berhubung usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Penggulungan menteri kewangan mengambil masa kira-kira satu jam menjadi tumpuan orang ramai kerana bimbang kemungkinan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditolak.

Kerajaan PN diterajui Muhyiddin mengambil alih Putrajaya pada Mac lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah selama 22 bulan tumbang.

Kerajaan PN yang mempunyai majoriti 114 kerusi Parlimen dibentuk dengan kerjasama Barisan Nasional, Bersatu, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan berkenaan untuk perbelanjaan negara tahun hadapan.

Sebelum ini 82 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar selama lapan hari selepas Belanjawan 2021 dibentang Zafrul pada 6 November lalu.

Selepas kelulusan ini, Belanjawan 2021 akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa dan akan dibentangkan untuk bacaan kali ketiga pada 15 Disember untuk kelulusan penuh bagi membolehkan Belanjawan 2021 itu dibawa untuk dibahas dan diluluskan Dewan Negara.

Berikut adalah senarai ahli Parlimen yang bangun sebagai percubaan untuk membuat undi belah bahagi Belanjawan 2021 bersama Mahfuz:

Dr Mahathir Mohamad (Langkawi)
Mukhriz Mahathir (Jerlun)
Khalid Samad (Shah Alam)
Mohamed Hanipa Maidin (Sepang)
Shahruddin Md Salleh (Sri Gading)
Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar)
Mohd Hatta Ramli (Lumut)
Anuar Tahir (Temerloh)
Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor)
Hasanuddin Yunus (Hulu Langat)
Hasan Bahrom (Tampin)
Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu)