- Iklan -
Berita

Kerajaan belum sedia bentang RUU 355 di Dewan Rakyat

Kerajaan sedang melaksanakan beberapa proses penting yang perlu dikaji teliti dan dilaksanakan terlebih dahulu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli-ahli parlimen ketika menghadiri Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. Gambar: Bernama
Ahli-ahli parlimen ketika menghadiri Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. Gambar: Bernama

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan beberapa proses penting yang perlu dikaji teliti dan dilaksanakan terlebih dahulu agar dapat digubal mengikut tertib dan teratur berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan juga melakukan rombakan semula keanggotaan Jawatankuasa Teknikal pada 16 Ogos lalu bagi memperkasakan dan memantapkan lagi pasukan tersebut yang terdiri daripada golongan profesional yang pakar dalam perundangan khususnya syarak dan sivil.

“Sejurus pelantikan tersebut pada 2 hingga 6 September, jawatankuasa teknikal tersebut adakah mesyuarat jawatankuasa teknikal untuk membincangkan cadangan Akta 355.

“Dalam perbincangan tersebut, pindaan Akta 355 telah dibincangkan seterusnya pada 1 hingga 3 Oktober, sudah adakan mesyuarat khas untuk menggubal RUU 355 dengan input-input yang dihasilkan dan telah dipersetujui melalui perbahasan sebelum itu.

“Hasilnya, jawatankuasa teknikal berjaya menggubal draf RUU355. Jawatankuasa teknikal merancangkan untuk membentangkan pindaan Akta 355 dan draf RUU355 yang digubal tersebut kepada negeri-negeri melalui majlis dialog undang-undang dan Persidangan Undang-Undang Syarak dan sivil yang dirancang diadakan pada awal 2021.

“Di peringkat ini, cadangan pindaan akta dan draf RUU 355 akan dibincangkan dan dibahaskan dengan terperinci dari pelbagai aspek khususnya aspek perlembagaan perundangan dan hukum syarak oleh ahli-ahli yang berpengetahuan luas dalam perlembagaan dalam perundangan syarak dan sivil dan sebahagiannya adalah dalam kalangan pembuat dasar dan syariah di peringkat negeri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

“Sejurus pelantikan tersebut pada 2 hingga 6 September, jawatankuasa teknikal tersebut adakah mesyuarat jawatankuasa teknikal untuk membincangkan cadangan Akta 355.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) tentang usaha-usaha yang dijalankan setakat ini untuk memastikan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dapat dilaksanakan.

Marzuk turut memberitahu kerajaan tidak bercadang untuk membentangkannya di Dewan Rakyat sebaliknya berpendirian RUU 355 harus mendapat pandangan pelbagai pihak sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Walau Akta 355 ini undang-undang persekutuan, peruntukan-peruntukan di bawahnya berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah dan bidang-bidang bertulis yang memperuntukkan kesalahan jenayah syariah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Oleh sebab itu, amat wajar pandangan kerajaan sekiranya cadangan meminda Akta 355 dirunding dengan negeri-negeri terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan sebelum dibentang kelak.”

Selain itu, katanya kerajaan juga melaksanakan pelan bagi memperkasakan undang-undang syariah bagi tempoh lima tahun yang akan melibatkan sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah utama termasuk undang-undang baharu dan pindaan sedia ada.

“Penggubalan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 merupakan sebahagian pelan tersebut. Selain pindaan Akta 355, kerajaan merancang menggubal beberapa undang-undang syariah termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Wakaf, RUU Kawalan Dana Sekatan Pegembangan Agama Bukan Islam, RUU Mufti, RUU mahkamah Syariah dan lain lain untuk diperinci.”