- Iklan -
Berita

Dr Mahathir selar ahli Parlimen PH kerana sokong Belanjawan 2021

Beliau dan empat ahli Parlimen Pejuang tetap dengan pendirian untuk menolak Belanjawan 2021.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad
Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad

Selepas gagal menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Dr Mahathir Mohamad mengatakan ahli Parlimen pembangkang sedikit pun tidak rasa bersalah kepada rakyat  kerana menyokong kerajaan yang ditubuhkan melalui pintu belakang.

Ulasan ini muncul beberapa jam selepas belanjawan lulus sebulat suara di peringkat dasar dengan majoriti yang kukuh di Dewan Rakyat.

“Inilah apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagi saya dan semua ahli parti Pejuang, serta beberapa ahli Parlimen yang lain, kami tetap berpegang kepada janji kami untuk menolak belanjawan seperti yang dinyatakan sebelum ini,” tulisnya di blog chedet.cc.

Terdahulu, dilaporkan seramai kira-kira 12 orang ahli Parlimen pembangkang yang berdiri untuk menyokong cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar supaya diadakan undi belah bahagi.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata beliau dan empat ahli Parlimen Pejuang tidak berganjak dengan pendirian mereka atas dasar tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat.

“Inilah apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, mereka akan tetap dengan pendirian untuk menentang segala jenis rasuah yang akan menghancurkan negara pada masa akan datang.

“Kami berharap yang rakyat juga akan sedar dan menolak rasuah.”

Pengundian hari ini adalah langkah pertama yang perlu dilalui belanjawan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selepas ini ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan bermula 30 November untuk diundi sekali lagi sebelum diluluskan

Mahathir berkata, apabila pemimpin yang tidak mempunyai prinsip dan tidak berkualiti sanggup menggadai amanah rakyat demi kepentingan peribadi, negara bakal “dijual” untuk memenuhi ketamakan diri mereka.

“Perasuah, penjenayah dan segala bentuk penyamun boleh bentuk kerajaan hanya dengan mengguna wang untuk membeli undi dan wakil pilihan rakyat.”