- Iklan -
Berita

Agong zahirkan penghargaan kepada semua ahli Dewan Rakyat sokong Belanjawan 2021

Sultan Abdullah zahirkan penghargaan kepada ahli Dewan Rakyat yang mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Oktober 2020.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: Facebook Istana Negara
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: Facebook Istana Negara

Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan penghargaan kepada semua ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 hari ini.

Sultan Abdullah mengalu-alukan sokongan yang diberikan bagi kelulusan Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ahli Dewan Rakyat yang telah mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Oktober 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

“Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19,” menurut kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Katanya, selaku ketua negara, Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini.

“Seri Paduka Baginda juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ianya amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama,” kata kenyataan itu.