- Iklan -
Berita

Urusharta Jamaah catat kerugian bersih RM9.95 bilion selepas ambil alih aset TH

Pendapatan RM234 juta tidak mampu menampung kerugian operasi.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar: Facebook
Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar: Facebook

Kementerian Kewangan mengesahkan meskipun Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) sudah mengambil alih aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM19.9 bilion namun Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) mencatatkan kerugian bersih RM9.95 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 4 Disember 2018 sehingga 31 Disember 2019.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berkata secara keseluruhanya UJSB mencatatkan pendapatan RM234 juta bagi tempoh kewangan berakhir 4 Disember 2018 sehingga 31 Disember 2019 yang diperoleh daripada hasil dividen dan sewaan aset milik syarikat.

“Jumlah pendapatan yang kecil ini tidak dapat menampung kerugian operasi yang disumbangkan antaranya melalui perekodan kerugian nilai saksama (fair value loss) ke atas instrumen ekuiti RM7.57 bilion dan kerugian rosot nilai (impairment loss) RM1.77 bilion, sehingga menyebabkan UJSB mencatatkan kerugian bersih RM9.95 bilion.

“Jumlah nilai saksama aset UJSB pula adalah sebanyak RM10.33 bilion, berbanding jumlah liabiliti sebanyak RM20.29 bilion. Keadaan ini sememangnya telah dijangka memandangkan aset-aset TH yang dipindahkan kepada UJSB dibuat bukan pada nilai saksama (RM9.7 bilion).

“Sebaliknya pada nilai buku dengan premium (RM19.9 bilion), menjadikan jurang lebihan liabiliti berbanding aset yang terpaksa ditanggung oleh UJSB berjumlah kira-kira RM10.2 bilion,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) meminta menteri kewangan menyatakan apakah prestasi kewangan semasa UJSB yang telah mengambil alih aset bernilai RM19.9 bilion milik TH serta berapa jumlah yang telah dibayar kepada TH setakat tahun ini.

Bagaimanapun, menurut Mohd Shahar penyata kewangan UJSB disediakan berlandaskan “going concern basis” memandangkan syarikat menerima Surat Sokongan Kewangan (Financial Support Letter) bertarikh 27 Mei 2019 daripada MKD.

“Menjelang akhir tahun 2020, UJSB akan membayar RM500 juta kepada TH di mana RM300 juta adalah bagi penyelesaian tunai manakala RM200 juta lagi adalah penebusan awal sukuk.”

Dalam pada itu, Mohd Shahar juga memberi jaminan akan menyampaikan desakan Ahli Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) terhadap kerajaan, perdana menteri dan Kementerian Kewangan supaya mengkaji semula cadangan penjualan tanah milik TH Plantation Bhd (THP) di Sarawak yang dikatakan di bawah nilai sebenar kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd dibuat di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).