- Iklan -
Berita

Kerajaan kaji semula bantuan kewangan bulanan JKM

Kementerian komited meneliti dan mengurangkan proses birokrasi dengan memendekkan tempoh kelulusan permohonan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Kementerian sentiasa berusaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
Kementerian sentiasa berusaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memperkenalkan pengecualian kajian semula bantuan kewangan bulanan kerajaan persekutuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penerima sedia ada di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berikutan penularan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Menterinya Rina Harun berkata pelanjutan bantuan JKM berkenaan juga dibuat secara automatik bagi kes-kes boleh ditamatkan berdasarkan maklumat sahih.

Beliau berkata kementerian juga komited meneliti dan mengurangkan proses birokrasi dengan memendekkan tempoh kelulusan permohonan bantuan supaya penerima dapat menikmati faedahnya secepat mungkin.

Sehubungan itu kata Rina kementerian juga sentiasa berusaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

“Kementerian melalui JKM juga menggalakkan semua permohonan baru untuk mendapatkan bantuan dibuat secara online atau atas talian bagi mengurangkan karenah birokrasi selain mempromosikannya menerusi platform media masa dan laman sosial.

“Langkah proaktif berkenaan diharap dapat membantu golongan memerlukan supaya tidak berlaku keciciran dan setiap permohonan bantuan akan dilakukan siasatan terperinci biarpun JKM sudah mempunyai data lengkap mengenainya,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata semua bantuan kebajikan yang disampaikan kerajaan menerusi JKM adalah untuk kesejahteraan rakyat semua.

Sehubungan itu, menurut Rina JKM sentiasa turun padang untuk mengenal pasti dan berjumpa dengan rakyat di peringkat akar umbi yang memerlukan bantuan kebajikan.