- Iklan -
Berita

Peruntukan penyelenggaraan sekolah tidak lagi diagihkan berasaskan kaum

Buat pertama kali KPM mendapat kebenaran membuat pengagihan dalam peruntukan belanjawan daripada Kementerian Kewangan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi

Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan formula baru dalam pengagihan peruntukan penyelenggaraan sekolah yang tidak lagi dilakukan berasaskan kepada kaum akan tetapi memfokuskan kepada sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang lebih memerlukan perhatian khusus.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, bagi Belanjawan 2021, KPM menyediakan konsep kiraan atau formula penetapan siling agihan penyelenggaraan yang dikatakan lebih telus mengambil kira bilangan sekolah dan bukannya jenis sekolah.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata sebanyak RM800 juta peruntukan keseluruhan akan digunakan untuk tujuan itu dengan RM620 juta peruntukan untuk semua 10,223 sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

“Asas perkiraan adalah berdasarkan purata daripada peruntukan RM620 juta bagi 10,223 buah sekolah, iaitu sebanyak RM60,648 setiap sekolah.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna kita beri sejumlah wang itu kepada setiap sekolah. Mereka perlu memohon seperti biasa dan kita akan teliti permohonan,” katanya pada satu sidang media khas di Kuala Lumpur hari ini.

“Asas perkiraan adalah berdasarkan purata daripada peruntukan RM620 juta bagi 10,223 buah sekolah, iaitu sebanyak RM60,648 setiap sekolah.

Katanya, formula siling agihan penyelenggaraan itu hanya melibatkan sekolah kerajaan dan sekolah bukan kerajaan dan tidak melibatkan sekolah-sekolah lain seperti sekolah tahfiz dan sekolah pondok berdaftar kerana berada di luar bidang kuasa KPM.

Pada sidang media itu Radzi berkata, siling peruntukan bagi sekolah bantuan kerajaan dikira berdasarkan 90% daripada purata tersebut didarabkan dengan bilangan 1,930 buah sekolah bantuan kerajaan.

“Ini menjadikan siling peruntukan untuk sekolah bantuan kerajaan adalah sebanyak RM105 juta,” katanya.

“Manakala, siling peruntukan bagi 8,293 buah sekolah kerajaan pula adalah berdasarkan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM620 juta ditolak siling sekolah bantuan kerajaan. Ini menjadikan siling peruntukan untuk sekolah kerajaan ialah RM515 juta.”

Katanya, dengan cara ini, peruntukan tahunan sektor pendidikan daripada kementerian kewangan boleh digunakan secara optimum.

“Kita tekankan kepada tanggungjawab kerajaan untuk selenggara semua sekolah kerajaan. Itu jelas. Saya rasa semua jelas dan faham,” katanya.

Katanya, berbeza dengan agihan peruntukan tahun-tahun lalu Belanjawan 2020 membuat agihan untuk peruntukan sekolah secara “one figure” iaitu jumlah tertentu kepada sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Beliau berkata, dengan formula baru itu bukan sahaja agihan yang lebih telus dapat diagihkan tetapi kaedah yang lebih adil digunakan untuk menentukan jumlah agihan kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Misalannya, akan ada yang kata, kenapa beri peruntukan sebanyak ini kepada sekolah seperti ini sedangkan jumlah pelajar tidak ramai? Itu tidak penting.

“Ini kerana, jika sesebuah sekolah memiliki tandas rosak, tidak kisah lah pelajarnya hanya 200 orang, murid-muridnya tetap terjejas,” katanya.

Ketika ditanya sama ada jumlah peruntukan sebanyak RM620 juta itu mencukupi bagi tujuan penyelenggaraan kepada semua sekolah, beliau mengakui ia tidak mampu memenuhi semua permohonan yang dihantar oleh pihak sekolah.

Bagaimanapun, KPM akan menggunakan peruntukan tersebut sebaiknya bagi memastikan para murid dapat belajar dengan keadaan yang kondusif dan selesa.