Wednesday, June 23, 2021

PAC syor wujud sistem bersepadu pengambilan pekerja asing, banteras ‘pengantara’

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mewujudkan sistem itu bagi menangkis tuduhan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pekerja asing.

Other News

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mewujudkan sistem bersepadu dalam pengurusan dan kawalan pengambilan pekerja asing yang tercalar dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu Pengerusi PAC, Wong Kah Who menegaskan tidak harus wujud peranan “pengantara” dalam permohonan pekerja asing.

“PAC berpendapat tidak seharusnya wujud mana-mana ‘pengantara’ dalam permohonan kuota pekerja asing kepada Menteri (dan) mengesyorkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap peranan ‘pengantara’ yang terlibat,” katanya dalam dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan laporan jawatankuasa PAC berhubung aktiviti kawalan pekerja asing yang dikelolakan KDN dan KSM kepada Dewan Rakyat.

PAC turut mengesan kelemahan yang menyebabkan kecurian dan penyalahgunaan ID Pengguna dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“PAC Parlimen mendapati ID Pengguna telah didakwa dicuri dan disalah gunakan untuk mewujudkan kuota palsu dalam sistem MyIMMs.

“Insiden di mana sistem begitu mudah boleh dicerobohi menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem keselamatan sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.

“Polis hendaklah mempercepatkan siasatan terhadap dakwaan kecurian dan penyalahgunaan ID Pengguna dalam sistem MyIMMs.”

Tambahnya, 20 laporan polis dibuat sejak tahun 2017 tetapi hasil siasatan belum diketahui.

“PAC Parlimen mendapati ID Pengguna telah didakwa dicuri dan disalah gunakan untuk mewujudkan kuota palsu dalam sistem MyIMMs.

Katanya ketika ini dokumen permohonan kuota pekerja asing tidak dapat dikongsi sepenuhnya kerana tidak ada integrasi yang menyeluruh antara melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan MyIMMs.

Katanya, KDN dan KSM hendaklah memastikan semua permohonan untuk kuota pekerja asing dibuat melalui permohonan biasa iaitu menerusi sistem ePPAx dan MyIMMs, dengan keputusan permohonan diberikan dalam tempoh munasabah.

Sistem bersepadu KDN dan KSM akan memastikan adanya kelangsungan data dari satu medan ke medan operasi yang lain merentasi kementerian dan jabatan.

Siasatan PAC juga kata Wong mendapati kelulusan membawa masuk pekerja asing melalui permohonan khas lebih tinggi berbanding dengan kelulusan melalui permohonan biasa dan menyifatkannya sebagai “tidak sihat.”

“Amalan ini juga tidak menepati tujuan asal proses permohonan kuota pekerja asing, iaitu bagi menyediakan saringan kelayakan yang ketat.”

PAC juga mendapati wujudnya kelemahan sistem yang menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan kepada pekerja yang gagal pemeriksaan Bio-Medical dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

“Selain itu, tiada rekod disimpan mengenai penghantaran pulang sebahagian pekerja asing yang gagal pemeriksaan Fomema. Ini akan mengakibatkan membawa risiko penularan penyakit berjangkit kepada penduduk tempatan.”

Wong berkata PAC juga mendapati kebajikan tahanan, penghuni serta warga kakitangan imigresen yang bertugas di semua depoh serta penaiktarafan depoh di seluruh negara perlu diberikan keutamaan.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles