- Iklan -
Berita

476 kes nelayan asing disiasat di bawah Akta Perikanan Pindaan 2019

Kementerian pertanian dan industri makanan perlu melakukan pindaan undang-undang bagi memastikan wilayah perairan negara diperketatkan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor memberi peringatan kepada nelayan di Sungai Geting agar tidak turun ke laut menangkap ikan semasa meninjau sempadan Malaysia Thailand di Sungai Golok baru-baru ini. Gambar: Bernama
Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor memberi peringatan kepada nelayan di Sungai Geting agar tidak turun ke laut menangkap ikan semasa meninjau sempadan Malaysia Thailand di Sungai Golok baru-baru ini. Gambar: Bernama

Sebanyak 476 kes diambil tindakan tegas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta Perikanan (Pindaan) 2019 dalam memastikan perairan negara sentiasa terlindung daripada sebarang aktiviti yang dilakukan oleh bot nelayan asing, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Ismail Mohamed Said.

Katanya beliau mengharapkan kementerian pertanian dan industri makanan dapat melaksanakan pindaan undang-undang bagi memastikan wilayah perairan negara dapat diperketatkan dan tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap nelayan-nelayan asing.

“Memang sedar bahawa aset-aset kita di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ini perlu dipertingkatkan dari segi keupayaan untuk menguatkuasakan perairan negara kita terutamanya keselamatan nelayan-nelayan dan memang selama ini kita gunakan Akta Perikanan di bawah zon maritim Malaysia.

“Dan setakat ini sejumlah 476 kes disiasat di bawah Akta Perikanan pindaan 2019 dan kita sangat mengalu-alukan kementerian pertanian dan industri makanan untuk membuat pindaan supaya undang-undang ini dapat kita perketatkan dan mengambil tindakan tegas terhadap nelayan asing,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang ingin mengetahui sejauh mana Akta Perikanan Pindaan 2019 dapat memberi kesan pencegahan terhadap peningkatan kes-kes pencerobohan tersebut.

Berhubung status terkini pembinaan tiga kapal induk APMM yang akan digunakan bagi meningkatkan pengoperasian di perairan negara dalam usaha mencegah aktiviti pencerobohan bot nelayan asing, Ismail berkata ia masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, sehingga Oktober 2020, tahap pembinaan ketiga-tiga kapal keseluruhannya mencapai pada tahun 70.9%.

“Penyerahan ketiga-tiga kapal akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada tahun 2021 dan Insya-Allah akan selesaikan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022.”