- Iklan -
Berita

Muafakat Nasional di ambang keretakan selepas Umno sasarkan kerusi PAS

Kini, PAS bukan lagi ‘senang kira’ seperti dahulu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin PAS beberapa kali telah menolak gesaan pemimpin Umno untuk tinggalkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Pemimpin PAS beberapa kali telah menolak gesaan pemimpin Umno untuk tinggalkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keretakan dalam Muafakat Nasional dilihat semakin ketara, satu piagam Umno dan PAS wujudkan September tahun lalu bagi membentuk blok politik Melayu-Islam terbesar dalam negara ketika kedua-duanya masih pembangkang.

“Terdapat percanggahan ketara dalam pembahagian kerusi antara Umno dan PAS untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam beberapa rundingan yang dilakukan,” kata satu sumber yang menjadi tonggak utama kepada piagam ditandatangani 14 bulan lalu itu kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, terdapat beberapa perbincangan “kurang mesra” berhubung pembahagian kerusi Parlimen dalam kalangan pemimpin kedua-dua parti, ketika mereka cuba membina satu pakatan yang sebelum ini “tidak rasmi” pada pilihan raya 2018.

Dalam pilihan raya itu, Umno dan PAS menghadapi musuh yang sama, iaitu Pakatan Harapan (PH), tetapi gagal mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang akhirnya memihak kepada PH di sebalik sentimen masyarakat terhadap kerajaan yang diterajui Najib Razak.

Bagamaimanapun, selepas Umno dan PAS menjadi pembangkang, pemimpin kedua-dua parti bekerjasama dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), satu tindakan yang akhirnya membuahkan hasil apabila parti yang mewakili PH berjaya dikalahkan di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands, Kimanis dan Tanjung Piai.

Ini menyebabkan kedua-dua parti itu memeterai perjanjian kerjasama politik yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional sempena Himpunan Penyatuan Ummah pada September 2019.

Kedua-dua pihak secara umumnya sudah bersetuju tidak akan menuntut kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

Tetapi dalam satu perbincangan mengenai pembahagian kerusi membabitkan dua negeri baru-baru ini menunjukkan kesefahaman yang dibentuk sebelum ini semakin rapuh.

“Di Kedah dan Terengganu, sudah terdapat percanggahan berhubung pembahagian kerusi,” kata sumber yang mengetahui mengenai perbincangan itu kepada MalaysiaNow.

“Beberapa pemimpin Ahli Majlis Tertinggi Umno tidak senang duduk dan tetap berkeras mahu bertanding di tempat yang dimenangi PAS dalam PRU14,” tambahnya.

Kedua-dua pihak secara umumnya sudah bersetuju tidak akan menuntut kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

“Jika Umno tetap meletakkan calon mereka di kawasan dimenangi PAS di saat-saat akhir maka saya boleh menjangkakan Muafakat Nasional akan hancur.”

Terdapat suara-suara mengatakan piagam Muafakat Nasional sudah tidak relevan lagi selepas PAS kembali dalam kerajaan pusat.

Parti itu juga membidas gesaan berulang kali oleh beberapa pemimpin Umno yang memihak kepada Najib, untuk menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Satu sumber PAS Kedah memberitahu MalaysiaNow tuntutan agresif ke atas kerusi dimiliki parti itu dibuat oleh sekumpulan pemimpin Umno yang tidak ada jawatan dalam kerajaan sekarang.

Difahamkan, Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman dihantar untuk berunding dengan PAS berhubung pembahagian kerusi PRU15 antara kedua-dua parti itu dan sudah turun ke negeri di Pantai Timur.

MalaysiaNow difahamkan, kerusi-kerusi menjadi pertikaian ialah yang dari segi sejarahnya, kedua-dua Umno dan PAS pernah memenanginya dan mempunyai kekuatan jentera hampir sama.

Pengundi-pengundi di Kedah dan Terengganu sering dilihat menukar kesetiaan mereka terhadap Umno dan PAS pada pilihan raya sebelum ini, dan kedua-dua parti memiliki pengaruh hampir sama terutama melibatkan pengundi Melayu.

Kejatuhan kerajaan PH yang membawa kepada pembentukan Perikatan Nasional pada Mac tahun ini, menyaksikan nasib politik PAS dan Umno berubah, dengan kedua-dua parti menjadi komponen penting dalam memastikan Muhyiddin memiliki majoriti.

PAS memenangi 18 kerusi daripada 158 kerusi Parlimen yang ditandinginya pada tahun 2018.

Parti Islam itu memiliki reputasi sebagai rakan kongsi “senang kira” dalam beberapa pakatan sejak dua dekad lalu.

Namun kali ini, PAS tidak akan sewenang-wenang menyerahkan kerusi mereka, terutamanya apabila berdepan dengan parti yang bergantung kepada pengundi yang sama.

“Sekarang ini, kita tunggu dan lihat,” kata satu sumber PAS Kedah, yang ketika ini memerintah kerajaan negeri.

“Sekiranya Umno benar-benar nak bertanding dan langgar perjanjian, PAS tidak ada masalah untuk lawan.”