- Iklan -
Berita

Bekas menteri bidas pengeluar sarung tangan Top Glove selepas lebih 1,000 pekerja dijangkiti Covid-19

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengatakan syarikat itu perlu dikenakan ‘cukai durian runtuh’ kerana keuntungan luar biasa mereka.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar dirakam pada 26 Ogos lalu, menunjukkan seorang pekerja kilang Top Glove sedang memeriksa sarung tangan keluaran syarikat itu. Gambar: AFP
Gambar dirakam pada 26 Ogos lalu, menunjukkan seorang pekerja kilang Top Glove sedang memeriksa sarung tangan keluaran syarikat itu. Gambar: AFP

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman membidas pengeluar sarung tangan Top Glove selepas ramai pekerja kilang itu dijangkiti virus Covid-19.

“Syarikat ini memang mempunyai rekod bermasalah apabila melibatkan kebajikan pekerja,” kata ahli Parlimen Muar itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan sebanyak 1,884 jangkitan baru Covid-19 dicatatkan, yang merupakan rekod harian tertinggi sejak ia dikesan awal tahun ini.

Beliau turut melaporkan lonjakan kes berkaitan tempat kerja, dengan Kluster Teratai yang dikaitkan dengan kilang Top Glove di Klang, Selangor mencatatkan 1,067 jangkitan Covid-19.

Top Glove, yang merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, sebelum ini dikenakan sekatan perdagangan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana amalan buruh paksa.

Tuduhan itu hadir walaupun Top Glove mencatatkan lonjakan permintaan sarung tangan ketika pandemik Covid-19 berlaku, di mana syarikat itu dilaporkan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.3 bilion pada suku keempat berakhir pada 31 Ogos 2020, iaitu 18 kali ganda lebih banyak dari tahun sebelumnya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq turut mempersoalkan mengapa kilang itu masih dibenarkan beroperasi walaupun Kluster Teratai dikenal pasti sejak 2 November lalu.

Katanya, tidak “rasa simpati” kepada syarikat-syarikat besar, walaupun ditegur kerana menggesa syarikat Top Glove membayar “cukai durian runtuh” kerana keuntungan luar biasa mereka.

Beliau berkata cukai itu pernah dikenakan kepada pelbagai industri besar yang merekodkan keuntungan luar biasa sebelum ini.

Ini termasuk cukai yang dikenakan kepada syarikat perladangan pada tahun 1998 dan syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) pada tahun 2008.

“Mengapa tahun 2020 kita tidak boleh kenakan cukai kepada syarikat sarung tangan getah yang sudah jadi syarikat paling besar di Malaysia pada waktu Covid-19?” soal beliau, dan menambah bayaran cukai durian runtuh syarikat itu dianggarkan berjumlah sekitar RM4.8 bilion sahaja.

MalaysiaNow sedang mencuba menghubungi pihak Top Glove bagi mendapatkan komen balas.

Sementara itu, AFP melaporkan syarikat itu akan menutup lebih separuh operasi kilangnya berikutan peningkatan kes Covid-19.

“Atas nasihat kementerian kesihatan, seperti yang dipersetujui dalam satu mesyuarat khas hari ini untuk menutup 28 buah kilang Top Glove… secara berperingkat untuk membolehkan pekerja menjalani ujian dan kuarantin,” kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Pihak pengurusan Top Glove dalam satu kenyataan berkata ia akan “bekerjasama dengan pihak berkuasa terlibat untuk melaksanakan pemberhentian sementara itu,” dan operasi penutupan kilang sudah bermula.

Kira-kira 5,700 pekerja menjalani ujian swab dan selebihnya akan turut dikenakan ujian yang sama, katanya dalam laporan AFP.

Menurut AFP, syarikat itu memiliki 47 buah kilang, 41 berada di Malaysia di mana kebanyakan pekerjanya berasal dari Nepal dan tinggal di dalam asrama sesak.

Pada Julai, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menyekat sarung tangan keluaran Top Glove kerana dakwaan buruh paksa dan gagal menjaga kebajikan pekerja.

Pihak Top Glove tampil menafikan tuduhan itu, dan mendakwa ia satu perbuatan sabotaj.

Pada penghujung tahun 2018, akhbar The Guardian, Britain berkata, pekerja Top Glove dipaksa bekerja lebih masa, pasport dirampas dan gaji ditahan.

Akhbar itu turut memetik pekerja dengan mengatakan mereka dipaksa bekerja selama tujuh hari seminggu sekurang-kurangnya 12 jam sehari, dan hanya dibenarkan cuti sehari dalam sebulan.

Menteri sumber manusia ketika itu, M Kulasegaran menolak dakwaan itu, dengan mengatakan ia adalah tuduhan palsu.