- Iklan -
Berita

Bagaimana Covid-19 sebabkan pendapatan golongan agama terjejas

Pusat ibadah ditutup dan banyak majlis keramaian dihadkan untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Masjid seperti di Dengkil, Selangor ini tidak lagi menerima jemaah sejak krisis Covid-19 bermula sembilan bulan lalu.
Masjid seperti di Dengkil, Selangor ini tidak lagi menerima jemaah sejak krisis Covid-19 bermula sembilan bulan lalu.

Penutupan pusat ibadah dan sekatan daripada melakukan kegiatan dakwah bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 menyebabkan golongan agama berada dalam krisis kewangan terutama mereka dalam negeri dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kebanyakan daripada mereka menjana pendapatan melalui kuliah agama, jemputan untuk menjadi imam dan bacaan doa di majlis perkahwinan serta kenduri kesyukuran akan tetapi pendapatan semakin berkurangan sejak Mac lalu apabila kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpul termasuk upacara keagamaan.

Seorang imam masjid di Pekan Dengkil, Selangor mahu dikenali sebagai Hasbullah berkata kedudukan kewangannya dan rakan-rakan terjejas teruk kerana bergantung kepada sumbangan daripada tabung masjid kerana memberikan kuliah agama dan mengetuai jemaah untuk sembahyang lima waktu.

Pemuda berusia 37 tahun itu bekata, sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac, beliau dan rakan-rakan sudah cukup sengsara selepas banyak majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran dan ceramah agama terpaksa dibatalkan.

Katanya, ini menyebabkan mereka hilang punca pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 hingga RM5,000 sepanjang PKP dilaksanakan, ditambah pula dengan sumbangan tabung masjid yang terjejas teruk kerana ketiadaan jemaah hadir untuk bersembahyang.

“Sekarang, saya pun tidak pasti macam mana kami nak bertahan lagi. Saya mungkin nasib baik sebab ada kerja lain. Tetapi, rakan-rakan imam yang lebih tua daripada saya di sekitar sini, mereka bergantug kepada jemputan dan orang ramai,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Lagipun, kami tidak pernah letakkan syarat harga untuk perkhidmatan kami. Sebab itu, kesian kepada para imam yang lain, mereka putus sumber pendapatan.”

Menurut Hasbullah rata-rata rakannya yang bekerja sebagai imam tinggal di kampung-kampung kecil di kawasan Morib, Sepang dan Bangi Lama.

Jawatan imam masjid memiliki gaji tetap dan mempunyai kadar yang ditetapkan melalui kerajaan negeri masing-masing, bagaimanapun, bayaran tersebut dikatakan masih rendah.

Ini menyebabkan rata-rata imam masjid mencari wang sampingan melalui aktiviti dan kegiatan dakwah di luar kawasan yang mampu menjana pendapatan lumayan mencecah ribuan ringgit mengikut kadar yang dikenakan.

Seorang penceramah selebriti mengatakan pendapatannya terjejas akibat PKPB menghalang beliau menghadiri majlis-majlis ceramah di negeri lain dan juga pembatalan banyak program keagamaan yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Penceramah yang berumur lewat 30-an itu berkata, sebelum pelaksanaan PKP, beliau boleh meraih sekurang-kurangnya RM10,000 untuk satu majlis agama yang memerlukan khidmat beliau mengetuai sembahyang maghrib dan sesi ceramah bagi tempoh satu hingga dua jam di masjid.

Katanya, beliau menerima sebanyak 10 hingga 20 tempahan slot kuliah dalam tempoh sebulan di seluruh negara dan sekiranya terdapat program di stesen televisyen dan radio, caj pada kadar RM10,000 hingga RM24,000 boleh dikenakan mengikut topik perbincangan, tempoh masa diambil dan perkhidmatan tambahan yang diperlukan seperti mengaji al-Quran.

Bagaimanapun, sejak pelaksanaan semula PKPB di kawasan Lembah Klang, beliau tidak lagi menerima sebarang undangan mana-mana program keagamaan dan daripada pihak komersial.

Ini menyebabkannya berdepan kesukaran untuk membayar gaji pengurus yang bertanggungjawab menyusun jadual dan menjadi orang tengah dalam berurusan dengan klien selain mengawal selia tiga akaun aplikasi WhatsApp miliknya.

“Anda jangan salah faham, saya bukan tidak bersyukur dan perkongsian saya ini mungkin akan buat orang marah, bagaimana seorang ustaz boleh dapat bayaran tinggi. Kami juga bekerja, saya memenuhi jemputan jauh ke utara dan selatan negara yang memerlukan kos.

“Kini, semuanya tergendala. Saya masih perlu membayar kereta, pemandu, pengurus dan kediaman,” katanya sambil menambah beliau juga menerima pendapatan sampingan sebagai tenaga pengajar separuh masa di sebuah kolej universiti agama di Selangor dengan bayaran sebanyak RM2,600 sebulan.

“Dengan bayaran mengajar inilah saya membayar menyara diri dan keluarga sehingga dibenarkan keluar berceramah semula,” katanya.

Berbeza dengan seorang imam masjid di negeri zon hijau, Mohamad Shairuddin Ishak yang mengatakan tidak berdepan masalah kewangan yang serius kerana jemputan untuk membaca doa dan mengetuai bacaan tahlil masih tinggi.

Shairuddin, 53, yang sudah lebih 20 tahun menjadi imam di Masjid Kampung Istana, Batu Pahat berkata, permintaan tinggi itu tidak pernah putus sejak awal tahun lalu meskipun ketika itu jangkitan kes Covid-19 sudah mula menapak di Malaysia.

“Paling banyak, orang buat kenduri kahwin. Tapi majlisnya hanya makan-makan. Tiada lagi bersanding sebab tetamu dikurangkan ikut arahan kerajaan. Saya dipanggil untuk mengetuai bacaan doa dan sebagainya.

“Makna kata, tak banyak berubah. Masa tiada covid pun macam ni juga, cuma orang yang datang masa tu lebih ramai. Bayaran sama juga,” katanya kepada MalaysiaNow.

Shairuddin berkata perkhidmatan imam di kawasan luar bandar Batu Pahat tidak mencukupi sehinggakan pihak masjid terpaksa meminta sokongan dan perkhidmatan tambahan daripada guru-guru agama yang tidak ke sekolah kerana ditutup hingga hujung tahun.

“Saya sendiri menggunakan bantuan anak saudara saya, guru sekolah menengah di Kluang.

“Ini juga latihan yang bagus untuk dia, bila saya sudah tiada nanti, Kampung Istana sudah ada generasi baru untuk menggantikan saya yang semakin tua,” katanya.