- Iklan -
Berita

Kerajaan kaji bina kuarters pekerja asing, kata Annuar Musa

Pihaknya sedang berunding dengan beberapa kementerian lain dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa (tengah, depan) bergambar bersama penerima-penerima sumbangan Orang Kelainan Upaya (OKU) ketika Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Komuniti Kuala Lumpur di bawah Program Wilayah Cakna 3.0 di Lobi Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 3, Jalan Raja Abdullah, pada 21 November, 2020. Gambar: Bernama

Kerajaan akan mengkaji langkah mewujudkan kuarters untuk pekerja asing bagi mengelak penularan pandemik Covid-19 di tapak pembinaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya sedang berunding dengan beberapa kementerian lain dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Kadang kala, ada pekerja asing duduk di bangunan yang baru siap dibina, jadi kita tidak mahu situasi ini berlaku lagi.

“Sebelum ini, berlaku penularan di tapak pembinaan Pavilion Embassy ketika gelombang kedua dan kini berlaku lagi sehingga wujudnya kluster tapak binaan Damanlela,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada persatuan penduduk Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0.

Turut hadir timbalannya, Santhara Kumar.

Annuar berkata keadaan itu sekali gus membuktikan tempat tinggal buruh asing yang tidak memenuhi piawaian dan syarat boleh mendatangkan bahaya sehingga membawa kepada penularan wabak tersebut.

“Oleh itu, kita akan lihat apakah kaedah yang boleh dipakai termasuk mengadakan tempat tinggal berpusat bagi pekerja asing ini.

“Mereka (kontraktor) yang menggunakan khidmat pekerja asing perlu memastikan mereka bebas wabak itu sebelum dibawa masuk dan mempunyai tempat tinggal yang diluluskan,” katanya.

Annuar berkata keadaan itu sekali gus membuktikan tempat tinggal buruh asing yang tidak memenuhi piawaian dan syarat boleh mendatangkan bahaya sehingga membawa kepada penularan wabak tersebut.

Sehingga 18 November, sejumlah 3,128 pekerja di kawasan tapak binaan melibatkan Kluster Damanlela di Kuala Lumpur dan Selangor telah disaring dan merekodkan 1,346 kes positif.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata belum terdapat keperluan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana Kementerian Kesihatan sudah menyaring kesemua pekerja asing terbabit manakala dua tapak pembinaan berkaitan ditutup.