- Iklan -
Berita

Tiada apa yang baru dalam tambahan belanjawan pembangunan Islam, Bumiputera

Trend sama dilihat dalam dua belanjawan terdahulu disediakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki membaca al-Quran di Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Seorang lelaki membaca al-Quran di Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Peruntukan untuk pembangunan syiar Islam dan Bumiputera meliputi 3.9% daripada keseluruhan Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini, penambahan sebanyak 0.9% daripada belanjawan terdahulu.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan sebanyak RM12.5 bilion untuk tujuan tersebut berbanding Pakatan Harapan (PH) berjumlah RM9.3 bilion.

Pertambahan program-program keislaman dan Bumiputera meningkat setiap tahun, menyebabkan ia menjadi salah satu daripada agenda tetap dalam belanjawan negara.

Semasa dua tahun di bawah zaman pemerintahan PH ia turut diberi perhatian dan menerima kenaikan setiap tahun.

Angka-angka belanjawan itu secara tidak langsung menangkis dakwaan kerajaan sekarang ini memberikan peruntukan yang lebih kepada demografi Melayu-Islam.

Pada tahun 2018, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk pembangunan syiar Islam, lebih RM100 juta daripada jumlah yang diumumkan dalam belanjawan Barisan Nasional, sebelum gabungan itu tumbang pada tahun sama.

Jumlah peruntukan itu terus meningkat sebanyak RM100 juta pada tahun berikutnya, menjadi RM1.3 bilion, yang mana ia disalurkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Belanjawan 2021 terbaru kerajaan PN turut menyaksikan tambahan sebanyak RM100 juta berbanding belanjawan terdahulu, dengan RM1.4 bilion diberikan untuk pembangunan syiar Islam.

Angka-angka belanjawan itu secara tidak langsung menangkis dakwaan kerajaan sekarang ini memberikan peruntukan yang lebih kepada demografi Melayu-Islam.

“Ini adalah satu trend yang diteruskan daripada pentadbiran terdahulu sejak kali pertama Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan perdana menteri,” kata satu sumber yang sudah biasa dengan penyediaan belanjawan kepada MalaysiaNow.

Ketika era Mahathir, “Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam” dalam pentadbirannya menjadi tulang belakang kepada peruntukan bagi pembangunan syiar Islam, satu usaha Islamisasi meningkatkan imej Islam kerajaan pimpinan Umno pada ketika itu.

Mahathir kemudiannya berganding bahu dengan Anwar Ibrahim, pemimpin pelajar Islam yang popular pada ketika itu dengan membawa masuknya ke dalam kerajaan, bagi melemahkan pengaruh PAS yang semakin meningkat pada era 80-an dan 90-an.

Ketika zaman pemerintahannya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, memfokuskan pengurusan dasar dan pembangunan syiar Islam.

Sejak dari itu, Jakim menerima peruntukan tahunan belanjawan kerajaan, dan angka tersebut melebihi RM1 bilion sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kerajaan PH mempertahankan keputusannya meneruskan tradisi memberikan peruntukan besar kepada Jakim, dengan mengatakan agihan itu turut digunakan untuk membayar elaun guru-guru al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), gaji pegawai dan kakitangan masjid serta imam di seluruh negara.

Tahun lepas, Mujahid Yusof Rawa, menteri yang menjaga hal ehwal Islam, membidas kritikan yang mempersoal peruntukan besar kepada Jakim.

Sementara itu, dalam Belanjawan 2021 kerajaan memperuntukkan tambahan sebanyak kira-kira RM3 bilion untuk program memperkasakan Bumiputera.

Tahun lepas, kerajaan PH memperuntukkan sebanyak RM8 bilion, yang sebahagian besar daripadanya diberikan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara), agensi kerajaan untuk menjaga Bumiputera.