- Iklan -
Berita

Rayuan lucut hak Umno, Wanita MCA tahun depan

Ia akan didengar  pada 18 Mac tahun depan di Mahkamah Rayuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Permohonan lucut hak terhadap Umno melibatkan RM192,965,413.61 dan RM300,000 terhadap Wanita MCA. Gambar: AP
Permohonan lucut hak terhadap Umno melibatkan RM192,965,413.61 dan RM300,000 terhadap Wanita MCA. Gambar: AP

Rayuan pihak pendakwaan mengenai permohonan lucut hak terhadap Umno, Wanita MCA dan pihak lain yang ditolak Mahkamah Tinggi, akan didengar  pada 18 Mac tahun depan di Mahkamah Rayuan.

Peguam Tania  Scivetti yang mewakili Umno ketika dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Sementara itu, peguam Habib Jewels Sdn Bhd Khoo Guan Huat berkata rayuan itu yang pada awalnya dijadualkan pada 30 November tahun ini, dijadualkan semula pada 18 Mac.

Pada 25 Ogos lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Mohamad Zabidin Mohd Diah menangguhkan pendengaran rayuan pendakwaan terhadap Umno, Wanita MCA dan pihak lain kepada 30 November untuk menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan melibatkan kes Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Rayuan pendakwaan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Februari tahun ini yang menolak permohonan untuk melucut hak lebih RM194 juta daripada Umno, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd yang didakwa menerima wang itu daripada bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Permohonan lucut hak terhadap Umno melibatkan RM192,965,413.61 dan RM300,000 terhadap Wanita MCA.

Sementara itu lucut hak terhadap Perano sebuah syarikat menjual tudung dan Binsabi sebuah syarikat pembekal khemah masing-masing melibatkan RM337,634.78 and RM827,250.

Pihak pendakwaan juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Disember tahun lepas, yang menolak permohonannya untuk melucut hak RM100,000 daripada Habib Jewels.

Sementara itu, Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Pahang juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Disember tahun lepas yang membenarkan pihak pendakwaan melucut hak  RM2,479,300.18  daripada jawatankuasa itu.

Permohonan lucut hak terhadap Umno melibatkan  RM192,965,413.61 dan RM300,000 terhadap Wanita MCA.

Rayuan itu dijadualkan untuk didengari bersama dengan rayuan pendakwaan dalam kes Badan Perhubungan Umno Kedah.

Pada 13 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak RM1.05 juta daripada Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Kedah yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pihak pendakwaan juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Januari lepas yang menolak permohonannya untuk  melucut hak RM138,359.60 daripada K&Z Enterprise Sdn Bhd.