- Iklan -
Berita

Penjawat awam masih boleh dibayar gaji jika belanjawan ditolak, kata Dr Mahathir

Kenyataan belanjawan ditolak penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak dapat dibayar gaji, pencen dan elaun adalah tidak benar sama sekali.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas-petugas kesihatan melakukan persediaan sebelum memulakan tugas menyaring penduduk.
Petugas-petugas kesihatan melakukan persediaan sebelum memulakan tugas menyaring penduduk.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengatakan, penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang memerangi Covid-19 masih boleh dibayar gaji, pencen dan elaun sekalipun Belanjawan 2021 yang dibentangkan menteri kewangan pada 6 November lalu ditolak.

Bekas perdana menteri itu berkata, kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengatakan sekiranya belanjawan ditolak penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak dapat dibayar gaji, pencen dan elaun adalah tidak benar sama sekali.

“Semasa saya perdana menteri pada tahun 1999, Belanjawan 2000 yang dibentangkan dalam bulan Oktober tidak diteruskan perbahasannya kerana Parlimen dibubar pada bulan November tahun tersebut untuk Pilihan Raya Umum ke-10 diadakan.

“Setelah pilihan raya selesai, kerajaan dengan mandat baru mendapat kelulusan Dewan Rakyat untuk peruntukan awal bagi perbelanjaan kerajaan untuk dua atau tiga bulan sementara menunggu Persidangan Khas Belanjawan diadakan dalam bulan Februari 2000,” kata ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, peruntukan awal ini memastikan perbelanjaan pentadbiran tidak terganggu dan gaji, pencen serta elaun penjawat awam tidak terjejas.

“Peruntukan ini juga termasuk pembayaran untuk peruntukan-peruntukan tambahan yang lain sama ada untuk Kementerian-kementerian ataupun untuk memudahkan kehidupan rakyat,” katanya.

Dalam satu wawancara bersama Bernama minggu lalu, Zafrul berkata kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

“Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.

Mahathir berkata, menteri kewangan dan pemimpin kerajaan lain tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan ugutan seperti itu yang bertujuan untuk “menekan” ahli-ahli Parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021 walaupun terdapat “banyak kekurangan dan keburukannya.”

“Jika itulah pendirian menteri kewangan dan pemimpin Kerajaan, ia bermakna ahli-ahli Parlimen perlu memberi ‘blank cheque’ dan menyokong untuk kelulusan belanjawan tersebut walaupun terdapat kecacatan yang nyata di dalam belanjawan tersebut.

“Saya berharap menteri kewangan dan pemimpin-pemimpin Kerajaan yang di dalam keresahan kehilangan kuasa berhenti dari mengeluar kenyataan yang tidak berasas, yang menakut-nakutkan rakyat semata-mata untuk kelangsungan politik mereka,” katanya.