- Iklan -
Berita

Zahid gesa kerajaan bawa usul undi percaya terhadap Muhyiddin

Beliau berkata soal sokongan majoriti kepada pentadbiran Muhyiddin mesti dirungkai.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membawa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Selaku Presiden Umno yang mempunyai majoriti dalam blok kerajaan, Ahmad Zahid Hamidi berkata soal sokongan majoriti kepada pentadbiran Muhyiddin mesti dirungkai, dan Dewan Rakyat pentas terbaik untuk tentukan kestabilan politik.

“Sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya ia hendak diuji di dewan yang mulia ini.

“Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan.

“Biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan diutamakan menjadi usul undi percaya dibawa ke dewan yang mulia ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini.

Gesaan ini mendapat sokongan sebilang ahli Parlimen yang berada dalam Dewan Rakyat termasuk dalam kalangan pembangkang.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bangun mencelah berkata langkah ini akan memastikan tiada lagi keraguan terhadap sokongan kepada kerajaan.

Zahid turut menyindir cara pentadbiran Muhyiddin yang dilihat beberapa kali memungkiri janji kepada Umno khususnya dan Barisan Nasional amnya.

“Dalam politik perlu ada kejujuran. Terjemahan bukan hanya sekadar persetujuan lisan tapi juga dalam pelaksanaan. Tiada persoalan siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi.

“Sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya ia hendak diuji di dewan yang mulia ini.

“Baik sebagai rakan kongsi atau atas nama dokongan. Secara piagam atau perjanjian persefahaman. Secara bertulis atau secara konvensyen. Secara tersurat dan tersirat. Penterjemahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar persetujuan lisan tetapi pelaksanaannya. Tiada soalan mengenai siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi tetapi bagaimana kebersamaan harus diterjemahkan.

“Soal tipu muslihat politik hendaklah diketepikan apabila kejujuran politik diberikan keutamaan jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait. Jadikan seperti air dalam pembentung biarpun airnya berkocak namun airnya tidak tumpah keluar jika penutupnya adalah kejujuran.”

Sehubungan itu, Zahid seolah memberi bayangan pilihan raya umum perlu diadakan segera jika kerajaan PN tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada ahli Parlimen.

“Ikhlas dan jujurlah rakyat yang mengharap sesuatu yang terbaik untuk mereka mesti diberi keutamaan.

“Proklamasi darurat adalah bukan pilihan malah Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja telahpun menolak. Apatah lagi percubaan untuk mencadangkan proklamasi darurat dalam apa bentuk sekalipun.

“Jika ini tidak dapat dilakukan ia hendaklah dikembalikan kepada rakyat sesegera yang mungkin. Suara rakyat, suara keramat daripada rakyat kita diberi mandat kepada rakyat juga kita serahkan mandat.”

Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk sebelum itu berkata Belanjawan 2021 menjadi harapan semua golongan yang terkesan iaitu “Post Covid-19 Economic Recovery Plan”, malah kerajaan wajib melakukan rancangan pemulihan ekonomi.

Ini kerana katanya, rakyat mahu merasai mereka bukan sekadar diberikan ikan tetapi rakyat mesti turut diberikan kail.

“Kail inilah yang diharapkan oleh Kumpulan B40 atau M40 tanpa melupakan kumpulan T20 yang turut menyumbang sebagai salah satu pemangkin ekonomi negara. Kumpulan M40 turut ramai terkesan, mungkin sebahagian daripada mereka kini berada dalam Kumpulan B40.

“Malah kumpulan industri PKS (perusahaan Kecil dan sederhana) yang merupakan 38.9% penyumbang KDNK amat-amat terkesan dan kumpulan ini wajib diberi keprihatinan khusus.”

Katanya, kumpulan yang hilang pekerjaan bertambah setiap hari, malah jumlah pengangguran ketara dan tidak ketara hendaklah jangan dikesampingkan.

“Rakyat sengsara kerana ramai, mengalami ‘no food on the table’ dan ‘no money in the pocket’ malah turut kehilangan tempat berteduh.”

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Belanjawan 2021 melihat semua kumpulan agar tidak ada kumpulan rakyat yang terpinggir dan berkecil hati.

“Ini termasuklah Kumpulan profesional dan teknikal yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa beralih ke bidang yang luar bidang profesion dan kemahiran mereka demi kelangsungan hidup berkeluarga.

“Lihatlah juga doktor-doktor persendirian yang terpaksa klinik-klinik persendirian mereka ditutup. Kumpulan ‘GP Doctors’ (General Practitioners) ini wajib dibantu dengan mewujudkan skim rangsangan ekonomi yang dapat membantu mereka. Mereka kekurangan dan kehilangan pesakit.

“Bagaimana pula dengan pengusaha-pengusaha bas Persiaran, bas Sekolah, bas ekspres dan bas kilang yang rata-rata turut terjejas dan menerima tekanan untuk terus melakukan pembayaran bulanan daripada syarikat kredit dan sewaan, syarikat-syarikat sewa beli yang tidak tertakluk kepada memberi moratorium.

“Begitu juga rumah PPR, rumah murah, rumah mampu milik yang tidak diberikan moratorium kerana mereka merupakan rakyat marhaen yang perlu diberi pembelaan oleh kerajaan.

“Sila ambil kepedulian terhadap, peminjam kenderaan persendirian, kereta terpakai tanpa moratorium selain yuran pelajar-pelajar universiti wajib dikurangkan kerana sejumlah 1.1 juta pelajar-pelajar IPTA dan IPTS terjejas dan belia-belia dan lepasan sekolah yang penganggur tidak ketara mesti turut diberi kepedulian.”

Dalam hal ini, beliau merayu kepada institusi kewangan dan syarikat-syarikat kewangan berlesen agar bersimpati dengan peminjam-peminjam yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendapatan kerana yang berlaku ‘delayed earning and reduce the profit’.