- Iklan -
Berita

Putrajaya dalam rundingan dengan semua parti pastikan Belanjawan 2021 diluluskan

Wujud rundingan dengan Warisan dan Pejuang, dua parti pembangkang di luar PH.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Umno dan PAS sudah sepakat bagi memastikan semua ahli-ahli Parlimen mereka menyokong Belanjawan 2021. Gambar: Bernama
Umno dan PAS sudah sepakat bagi memastikan semua ahli-ahli Parlimen mereka menyokong Belanjawan 2021. Gambar: Bernama

Putrajaya sedang dalam proses rundingan bersama parti-parti politik kerajaan dan pembangkang bagi memastikan Belanjawan 2021 yang akan diundi di Parlimen pada 26 November diluluskan, MalaysiaNow difahamkan.

Ini berlaku ketika terdapat spekulasi beberapa ahli Parlimen Umno yang sedang berdepan dengan pendakwaan rasuah berpaling tadah daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) menolak belanjawan.

Sumber yang mengetahui tentang rundingan itu berkata Umno kini kembali menyokong belanjawan selepas presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menerima tekanan kerana menyokong Anwar Ibrahim.

MalaysiaNow sebelum ini mendedahkan kandungan surat kepada Istana Negara ditulis Zahid dan bekas bosnya Najib Razak  bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menggulingkan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu difahamkan Umno dan PAS sudah sepakat bagi memastikan semua ahli-ahli Parlimen mereka menyokong Belanjawan 2021.

Menurut sumber, terdapat juga rundingan dengan Warisan dan Pejuang, dua parti pembangkang di luar PH.

Sumber yang mengetahui tentang rundingan itu berkata Umno kini kembali menyokong belanjawan selepas presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menerima tekanan kerana menyokong Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan Insya-Allah Belanjawan 2021 akan diluluskan dan semua pihak boleh fokus dalam perang melawan Covid-19,” kata sumber daripada PAS.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa mencadangkan satu pembentukan kerajaan “grand coalition” melibatkan parti-parti yang sealiran selain turut mengundang parti-parti pembangkang seperti Warisan, Pejuang dan Muda.

Terdapat kebimbangan sebelum ini jika belanjawan tidak diluluskan, pilihan raya umum perlu diadakan pada musim pandemik Covid-19.

Semalam, Yang di pertuan Agong mengisytiharkan darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi di Sabah sekaligus menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang terpaksa dijalankan selepas penyandang kerusi itu daripada Warisan, Liew View Keong meninggal dunia bulan lepas.

“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” kata kenyataan dikeluarkan Istana Negara semalam.

Pada Isnin, ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman daripada Umno meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Kuala Lipis, Pahang.

Ini bermakna, parti kerajaan dan pembangkang kedua-duanya kehilangan satu kerusi Parlimen.

Julai lalu, usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikemukakan Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat berjaya apabila mendapat 111 undian bersetuju, satu majoriti yang amat tipis sebanyak dua kerusi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Rashid Hasnon berkata, seramai 109 anggota Parlimen mengundi tidak bersetuju manakala seorang anggota Parlimen tidak hadir kerana sakit.