- Iklan -
Berita

Pinda Belanjawan 2021 jika PN tidak mahu tumbang, kata ahli Parlimen PKR

Kerajaan PN digesa pinda beberapa belanjawan jika mahu sokongan sebulat suara ahli Parlimen.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini. Gambar: AP
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini. Gambar: AP

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mendesak kerajaan supaya membuat beberapa pindaan kepada Belanjawan 2021 jika mahu ia disokong sebulat suara.

Tegasnya jika ia tidak dilakukan, majoriti wakil rakyat akan menolak belanjawan itu.

Antara perkara yang dilihat Hassan sebagai tidak relevan dan perlu diberi perhatian termasuk pemberian peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dan geran sekali beri RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya berharap kepada menteri kewangan, jika sayang kerajaan Perikatan Nasional (PN), buat pindaan apa yang kami cadang… jika tidak kerajaan ini pada 26 November akan tumbang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Tegasnya jika ia tidak dilakukan, majoriti wakil rakyat akan menolak belanjawan itu.

Katanya, peruntukan Jasa dan PeKT itu perlu ditarik dan diberi kepada sektor yang lebih memerlukan.

Sehubungan itu, kerajaan dicadang mengurangkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM71 bilion dalam Belanjawan 2021, sebaliknya menambah peruntukan kepada Tabung Wang Covid-19.

Katanya, peruntukkan Tabung Wang Covid-19 RM17 bilion tidak mencukupi dan hanya merangkumi 5% daripada keseluruhan Belanjawan 2021.

“Saya mencadangkan supaya perbelanjaan pembangunan sebanyak RM71 bilion ini dikurangkan kepada kira-kira RM50 bilion seperti dalam Belanjawan 2020 dan bakinya dimasukkan dalam Tabung Wang Covid-19.

“Dengan lebihan peruntukan itu, kita boleh beri kepada vaksin, melaksanakan ujian calitan Covid-19 kepada rakyat selain menaik taraf operasi kesihatan negara.

“Malah, kita juga boleh gunakan wang terbabit untuk meneruskan subsidi upah, beri wang tunai kepada rakyat dan pekerja yang terjejas serta memerlukan.

“Jadi tidak perlulah mereka mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).”