- Iklan -
Berita

Loghat utara sebabkan orang fikir saya kata Najib pengkhianat, kata Shahidan

Media atas talian salah lapor selepas hanya mendengar sepintas lalu ucapan perbahasan yang kedengaran dalam loghat utara.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Shahidan Kassim menafikan kata-kata yang diucapkannya di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan Belanjawan 2021 ditujukan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak, mengatakan terdapat kekeliruan kerana beliau menggunakan loghat utara.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, ketika beliau sedang berucap meminta semua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sedang mengganggu dan memohon pencelahan menyebabkan ucapannya terganggu.

“Saya tidak berkata macam tu. Mungkin dalam bahasa atau pelat utara kedengaran salah. Tapi saya memang tidak sebut perkataan Pekan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beberapa laporan media hari ini memetik seolah-olah Shahidan memberitahu Najib akan jadi pengkhianat rakyat jika menolak Belanjawan 2021 ekoran beberapa kritikan yang diucapkan bekas perdana menteri terpalit rasuah itu dalam perbahasan belanjawan baru-baru ini.

Dalam ucapan Shahidan secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada Belanjawan 2021 dan mahu sesiapa yang tidak mahu menyokong agar tidak hadir ketika hari pengundian nanti.

“Saya tidak berkata macam tu. Mungkin dalam bahasa atau pelat utara kedengaran salah. Tapi saya memang tidak sebut perkataan Pekan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kita menyatakan sokongan tak berbelah bagi kepada kerajaan pimpinan Pagoh (Muhyiddin Yassin). Kita nak menyatakan kita bersetuju kepada belanjawan yang dibentangkan oleh menteri kewangan. Rakyat nak melihat kita sehati sejiwa.

“Kalau tak sokong jangan hadir Parlimen bila sampai masa (mengundi) nanti,” katanya berseloroh.

Shahidan berkata, dalam perbahasannya juga mahu kerajaan berlaku adil dengan memberikan insentif khas one off RM500 bukan hanya petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.

Beliau menyarankan agar bantuan tersebut melibatkan semua agensi pasukan hadapan dalam menghargai jasa dan penat lelah mereka dalam menjaga keselamatan negara daripada Covid-19.

Shahidan juga berterima kasih kepada kerajaan dan pasukan barisan hadapan kerana memperkenalkan cara-cara menangani Covid-19 dengan terbaik dan tidaklah seperti yang dilakukan ketika zaman pemerintahan Pakatan Harpan (PH).

“Sebenarnya Covid-19 bukan berlaku masa Pagoh tetapi berlaku pada bulan Disember 2019 dan 2020 kita diberi amaran WHO Malaysia antara negara menghadapi Covid-19 tapi apa kerajaan PH buat dengan yang patut mainkan peranan untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini yang hanya jadi pemerhati.

“Namun, syukur Alhamdulillah kerajaan PN berjaya letakkan orang profesional pada tempat sepatutnya. Kerajaan PH pula pada 28 Januari 2020 boleh tengok gambar ini (bekas menteri pelancongan, Mohamaddin Ketapi), bekas menteri PH ini, Covid-19 pun tak apa, ini pelancong-pelancong datang semua sihat.

“Ketua pengarah kesihatan duduk sebelah tengok sahaja, menteri kesihatan pula sedang senyum dengar cakap menteri pelancongan PH. Tapi bila Pagoh ambil alih, perkenalkan PKP dan SOP ketat sehingga usaha kita menangani gelombang pertama Covid-19 terbaik di dunia.”

Ucapan ini membuatkan bekas menteri dan timbalan menteri kesihatan ketika zaman pemerintahan PH tidak senang duduk dan bangun mahu pencelahan bagi memberi penjelasan.

Bagaimanapun disebabkan kekangan masa, Shahidan dan Timbalan Speaker Rashid Hasnon tidak memberikan laluan kepada mereka.