- Iklan -
Berita

Annuar Musa saman ahli Parlimen DAP susulan tuduhan jual plot tanah DBKL

Annuar berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah telah menjatuhkan reputasinya serta DBKL.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai yang menuduh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual 42 plot tanah dalam tempoh lapan bulan lalu.

Menterinya, Annuar Musa berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah telah menjatuhkan reputasinya serta DBKL.

Tegasnya sehingga kini, beliau sendiri tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada DBKL untuk menjual aset milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Saya ingin tegaskan sehingga saat ini dan hari ini saya tidak pernah menerima apa-apa permohonan daripada DBKL untuk menjual asetnya.

“Saya kecewa dan merasa sangat dukacita dengan dakwaan seorang ahli Parlimen yang sudah begitu lama berperanan sebagai wakil rakyat yang bertindak menyerang wakil rakyat lain, sedangkan beliau ada peluang untuk berucap dalam sidang Dewan Rakyat.

“Oleh kerana beliau memilih untuk berucap di luar Parlimen dan tindakan di luar Parlimen juga tertakluk kepada undang-undang tertentu.

“Jadi saya telah arahkan peguam saya untuk ambil tindakan undang-undang mengikut jalur dan proses sedia ada,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

“Saya ingin tegaskan sehingga saat ini dan hari ini saya tidak pernah menerima apa-apa permohonan daripada DBKL untuk menjual asetnya.

Semalam, Tan mendakwa, 42 plot tanah DBKL terjual dalam tempoh lapan bulan terakhir Annuar menerajui kementerian itu.

Sementara itu, DBKL dalam kenyataan turut memaklumkan, mengikut semakan, terdapat 42 plot tanah di Kuala Lumpur milik persendirian yang memohon proses perubahan kepada zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot terhadap Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020).

Sehubungan itu, tegas DBKL, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982, (Akta 267), memberi peruntukan kepada pemilik tanah bagi merubah zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot dalam Pelan Tempatan (PBRKL2020) yang diwartakan.

“Peruntukan ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 17, Akta 267. Daripada 42 plot yang terlibat, 3 permohonan perubahan telah diwartakan, 6 dalam proses pewartaan manakala 33 plot masih dalam pertimbangan.

“Semua proses ini telah mengikut peruntukan yang termaktub dalam akta sedia ada,” jelas DBKL.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan isu berkaitan 97 transaksi penjualan tanah, secara keseluruhannya transaksi pelupusan tanah yang berlaku adalah sebelum tahun 2020 dan tidak melibatkan keputusan Menteri Wilayah Persekutuan ketika ini.