- Iklan -
Berita

Syarikat ancam saman portal berhubung laporan kontrak perlombongan mewah

KL Larut, yang diketuai ahli perniagaan Oms Thiagarajan, berkata reputasi syarikatnya ‘terjejas’ akibat laporan itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktiviti perlombongan pasir mampu menjana hasil yang lumayan.
Aktiviti perlombongan pasir mampu menjana hasil yang lumayan.

Sebuah syarikat yang terlibat dalam perlombongan mineral di Selangor mendakwa MalaysiaNow membuat tuduhan palsu dan berniat jahat dalam satu laporan mendedahkan pembaharuan kontrak 10 tahun kepada syarikat itu untuk melakukan aktiviti perlombongan di dua plot tanah milik kerajaan negeri.

“Laporan itu menyebabkan pelanggan kami rasa tertekan dan malu serta terjejas reputasi sehingga menimbulkan rasa benci, penghinaan dan cemuhan orang ramai,” kata peguam yang mewakili KL Larut Sdn Bhd yang menuntut permohonan maaf dan pampasan daripada portal berita ini.

Syarikat yang dipengerusikan ahli perniagaan berasal dari Klang bernama Thiagarajan Pavadai, turut mengancam mengambil tindakan undang-undang dan memberi amaran supaya tidak mengulangi “tuduhan itu”.

Thiagarajan, 66, yang turut dikenali sebagai Oms Thiagarajan, terkenal dengan kesetiaan politiknya kepada presiden PKR Anwar Ibrahim, dan selalu mendapat perhatian media berkaitan isu melibatkan kaum India.

Pada 7 November lalu, MalaysiaNow melaporkan kerajaan Selangor mengenepikan syarikat perlombongan milik negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd apabila meluluskan permohonan KL Larut untuk memperbaharui kontrak pajakan melombong di dua kawasan tanah seluas 1,000 ekar di Kuala Selangor.

Syarikat yang dipengerusikan ahli perniagaan berasal dari Klang bernama Thiagarajan Pavadai, turut mengancam mengambil tindakan undang-undang dan memberi amaran supaya tidak mengulangi “tuduhan itu”.

Hasil semakan mendedahkan keputusan itu melanggar surat pekeliling 2015 yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, yang jelas menyatakan semua lesen perlombongan di atas tanah milik kerajaan negeri perlu dilakukan melalui proses tender terbuka.

Laporan itu turut memetik satu sumber industri yang mengatakan, kedua-dua bidang tanah masing-masing berkeluasan kira-kira 300 dan 748 ekar, berpotensi menghasilkan 300,000 metrik tan pasir dan mineral setiap bulan dengan harga pasaran melebihi RM5 juta.

Sehari kemudian, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya Haniza Talha menuntut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tampil menjelaskan mengenai pembaharuan pajakan yang diberikan kepada KL Larut.

Katanya, keputusan memanjangkan kontrak pajakan perlombongan kepada KL Larut sehingga tahun 2030 melanggar garis panduan aktiviti melombong di Selangor.

“Tanah-tanah tersebut merupakan tanah milikan kerajaan dan sepatutnya dikembalikan kepada kerajaan setelah habis tempoh pajakan 10 tahun daripada diperbaharui kontrak tersebut untuk 10 tahun lagi,” katanya.

Aktiviti perlombongan pasir di Selangor merupakan perniagaan yang mampu menjana pendapatan berjuta-juta ringgit, yang turut menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan negeri, menyebabkan Kumpulan Semesta dilantik untuk menguruskan aktiviti itu, sebuah syarikat di bawah seliaan Menteri Besar Selangor Inc yang diketuai menteri besar sendiri.