- Iklan -
Berita

Muslim Pro nafi jual data kepada tentera AS

Tentera AS didakwa membeli data Muslim Pro melalui broker data pihak ketiga yang dipanggil X-Mode.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Aplikasi Muslim Pro menafikan laporan dakwaan data pengguna dijual kepada Tentera Amerika Syarikat.
Aplikasi Muslim Pro menafikan laporan dakwaan data pengguna dijual kepada Tentera Amerika Syarikat.

Muslim Pro, aplikasi mudah alih Islam yang mempunyai hampir 100 juta pengguna, telah menolak dakwaan bahawa ia menjual data peribadi penggunanya kepada tentera Amerika Syarikat (AS).

“Laporan media sedang beredar bahawa Muslim Pro telah menjual data peribadi penggunanya kepada tentera AS. Ini tidak betul dan tidak benar,” kata Muslim Pro Team dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman webnya hari ini.

Muslim Pro komited untuk melindungi dan menjamin privasi pengguna, katanya, sambil menambah : “Kita mengambil serius dakwaan ini.”

Ia menggunakan pengaturan keselamatan standard industri dan langkah perlindungan serta memilih rakan teknologi yang terkemuka untuk memastikan data selamat dan terjamin pada infrastruktur awannya.

“Kami juga bersikap terbuka dan telus mengenai maklumat peribadi yang kami kumpul, simpan dan proses memandangkan kami menerima kepercayaan berjuta-juta umat Islam yang dimasukkan ke dalam Muslim Pro pada setiap, jadi semua ini amat bermakna kepada kami,” katanya.

Ditubuhkan pada 2009, Muslim Pro dibangunkan dengan pemula niaga teknologi, Bitsmedia yang beribu pejabat di Singapura.

Muslim Pro komited untuk melindungi dan menjamin privasi pengguna, katanya, sambil menambah : “Kita mengambil serius dakwaan ini.”

Pada Julai 2017, Bitsmedia dan Muslim Pro diambil alih oleh Bintang Capital (Malaysia) dan CMIA (Singapura).

Syarikat itu telah memperluaskan kehadiran serantaunya dengan pejabat tempatan di Kuala Lumpur dan Jakarta.

Dalam usahanya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna serta membantu perniagaan meningkatkan penawaran produk dan perkhidmatan mereka, ia telah berkongsi data tanpa nama dengan rakan teknologi terpilih yang dikehendaki mematuhi undang-undang serta peraturan global membabitkan perlindungan data peribadi.

“Akibat daripada dakwaan ini, kami telah melancarkan siasatan dalaman dan sedang mengkaji dasar tadbir urus data kami untuk mengesahkan bahawa semua data pengguna yang dikendalikan adalah selaras dengan semua keperluan sedia ada.

“Apa-apa pun, kami telah memutuskan untuk menamatkan hubungan kami dengan semua rakan data, termasuk X-Mode, berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Dilaporkan bahawa tentera AS didakwa membeli data Muslim Pro melalui broker data pihak ketiga yang dipanggil X-Mode.