- Iklan -
Berita

Kekangan mendapatkan petugas pilihan raya antara sebab PRK Batu Sapi ditangguh

Muhyiddin senarai lima sebab di sebalik pengisytiharan darurat Batu Sapi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyampaikan perutusan khas Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang disiarkan secara langsung dari Parlimen hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyampaikan perutusan khas Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang disiarkan secara langsung dari Parlimen hari ini. Gambar: Bernama

Kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya merupakan satu daripada lima sebab kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di sebalik keputusan mencadangkan kepada Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Batu Sapi bagi menghalang pilihan raya kecil (PRK) diadakan di sana.

Muhyiddin berkata, setakat 6 November 2020, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi yang dijadual diadakan pada 5 Disember ini.

“Kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas,” kata Muhyiddin dalam satu perutusan khas bagi menjelaskan sebab pengisytiharan Darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menggunakan kuasanya berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, yang secara langsung membatalkan PRK yang dijadualkan pada Disember ini.

Kerusi Parlimen itu kosong selepas penyandangnya Liew Vui Keong dari Warisan meninggal dunia bulan lepas.

Muhyiddin berkata faktor pertama di sebalik pengisytiharan darurat adalah ancaman terhadap kesihatan awam, selepas mendapati pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang amat lemah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas,” kata Muhyiddin dalam satu perutusan khas bagi menjelaskan sebab pengisytiharan darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi.

Alasan lain termasuk kesukaran mengawal pergerakan rentas sempadan melibatkan pengawai SPR dan pengundi, kebimbangan mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang mewakili 22.3% undi, serta kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan daerah Sandakan sekiranya penularan pandemik berlaku selepas PRK diadakan.

“Ini tentu sekali akan menjejaskan usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan kita, yang sebahagian besarnya agak keletihan setelah sekian lama berhempas-pulas membendung wabak ini.

“Kasihanilah mereka yang bertungkus-lumus bersengkang mata siang dan malam untuk melindungi nyawa kita,” kata perdana menteri.

Beliau memberi jaminan kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini.

“Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi,” katanya, sambil menambah pentadbiran kerajaan dan kegiatan diteruskan tertakluk kepada amalan norma baru dan peraturan serta SOP.

“Saya bagi pihak kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik Covid-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,” tambahnya.