- Iklan -
Berita

Laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 tidak akan didedahkan kepada umum

Mengambil kira pelbagai aspek perundangan dan terdapat kandungannya berhubung perkara-perkara yang sensitif.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menggendalikan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini. Gambar: Bernama.
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menggendalikan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini. Gambar: Bernama.

Kerajaan tidak berhasrat mendedahkan laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) kepada umum, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Hanifah Taib.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek perundangan dan terdapat kandungan berhubung perkara-perkara yang sensitif.

“Setakat ini kerajaan masih mengekalkan pendirian bahawa tiada keperluan untuk laporan ini didedahkan kepada umum.

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek perundangan, memandangkan isu, kandungan dan perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal serta membabitkan perkara sensitif berstatus rahsia rasmi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Azis Jamman (Warisan- Sepanggar) yang meminta pendirian kerajaan sama ada akan mendedahkan laporan akhir JKK MA63 kepada umum.

Bagaimanapun, Hanifah memaklumkan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih meneruskan dasar-dasar yang diputuskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan tidak sama sekali berniat untuk melengahkan masa berhubung keputusan yang dicapai Jawatankuasa Khas Kabinet terdahulu.

Katanya, laporan akhir jawatankuasa perjanjian Malaysia (MA63) sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet pada 18 November tahun lalu untuk dimuktamadkan keputusan menerusi laporan tersebut dan dibentang kepada jemaah menteri pada bulan Disember tahun sama.

“Kemudian 15 Januari 2020 bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut dibubarkan memandangkan objektif penubuhannya untuk mengkaji isu-isu pelaksanaan MA63 sudah pun tercapai.

“Untuk tindakan selanjutnya jemaah menteri bersetuju pelaksanaan keputusan-keputusan yang dicapai oleh jawatankuasa kabinet tersebut akan dipantau melalui satu Majlis Khas dan dipengerusikan oleh perdana menteri.

“Jemaah menteri dahulu turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah agensi baru iaitu bahagian hal ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengurus Majlis Khas tersebut serta menyelaras perkara berbangkit dari Sabah dan Sarawak khususnya berhubung perjanjian 1963 (Sabah dan Sarawak).”

Berhubung langkah berkesan bagi menangani kekurangan jawatankuasa tersebut dan jaminan majlis itu dapat mempercepatkan hak Sabah dan Sarawak, kata Hanifah kerajaan sentiasa melaksanakannya dengan berkualiti bagi memastikan jawatankuasa ini berfungsi dengan baik.

“Dari segi keinginan melaksnakan yang terbaik, kita berusaha bersungguh-sungguh, ada perkara yang telah dilaksanakan dan ada juga dalam peringkat perbincangan dan Insya Allah, akan dilaksanakan secepat mungkin.”