- Iklan -
Berita

Keganasan rumah tangga, kaunseling antara panggilan tertinggi Talian Kasih

Lebih 160,000 panggilan ke Talian Kasih diterima sejak 11 bulan lalu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima 159,703 panggilan menerusi Talian Kasih antara bulan Januari sehingga 14 November lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Yusoff berkata, daripada jumlah itu 97,576 panggilan menerusi Talian Kasih 15999 manakala 62,127 diterima menerusi aplikasi WhatsApp di talian 0192615999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

“Kalau lihat pecahan rekod, 1,847 berkaitan kanak-kanak, 2,287 berkaitan keganasan rumah tangga, 647 berkaitan dengan gelandangan, 7,177 berkaitan permohonan kebajikan, 4,919 mengenai kaunseling, 661 rekod libatkan kurang upaya dan 359 adalah berkaitan dengan warga emas.

“Segala pertanyaan dan perkhidmatan kementerian dijawab melalui talian kasih manakala segala butiran aduan disalurkan ke jabatan termasuk polis dan agensi-agensi berkaitan di bawah kementerian untuk tindakan selanjutnya. Aduan dan permohonan dipanjangkan akan diambil tindakan oleh pegawai di daerah atau negeri berkaitan.

“Maklum balas pula akan diberi menerusi talian e-Kasih dan status kes akan ditutup setelah maklumat ini diberi kepada agensi berkaitan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah menjawab pertanyaan Kasthuri Patto (DAP- Batu Kawan) yang ingin mengetahui tentang berapa bilangan panggilan telefon kepada Talian Kasih 15999 dari bulan Januari 2020 sehingga kini mengikut jenis panggilan seperti keganasan rumah tangga, jenayah seksual kanak-kanak, cubaan membunuh diri dan perkara lain dan apakah tindakan dan bantuan kerajaan bagi kes-kes tersebut.

Menurut Siti Zailah, banyak program dilaksanakan di peringkat kementerian, menerusi Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga yang diwujudkan sebelum ini.

Katanya pada 17 April lalu menteri mempengerusikan sendiri pertemuan dengan agensi termasuk polis, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan NGO-NGO bagi membincangkan isu keganasan rumah tangga dan kepentingan wanita.

“Antara program dilaksanakan iaitu mewujudkan untuk memperkemaskan aspek sistem sokongan dan perlindungan termasuk kerjasama dengan 528 kaunselor dengan kerjasama Lembaga Kaunselor Negara dan juga program-program tambah lagi kerjasama dengan NGO untuk memastikan kesedaran masyarakat sama-sama membantu hindari isu-isu khususnya isu penderaan, isu rumah tangga termasuk gangguan seksual.”