- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat bertafakur atas pemergian ahli Parlimen Gerik

Pemergiaan Hasbullah Osman disifatkan sebagai kehilangan besar kepada Parlimen dan negara.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur.

Dewan Rakyat hari ini bertafakur selama satu minit sebagai bagi memberikan penghormatan kepada Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman yang meninggal dunia semalam.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata Allahyarham adalah seorang yang aktif dalam urusan Parlimen dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

“Saya bagi pihak ahli dewan ini dan Parlimen Malaysia ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham khususnya Rosmawati Ariffin dan Zaini Abu Bakar, isteri kepada Allahyarham serta seluruh ahli keluarga Allahyarham,” kata Azhar.

“Saya mengharapkan seluruh ahli keluarga Allahyarham tabah dan sabar dalam menghadapi ketentuan Ilahi. Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang beramal soleh serta beriman”.

Semua ahli Dewan Rakyat kemudiannya bertafakur selama seminit bagi mengenang pemergian arwah.

Hasbullah, 63, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Kuala Lipis Pahang kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Sebelum itu, beliau tidak sedarkan diri di dalam kereta sebelum dibawa ke klinik oleh pemandunya untuk mendapatkan rawatan di Raub, Pahang.

Beliau juga sempat menghadiri persidangan Dewan Rakyat semalam termasuk mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).