- Iklan -
Berita

Ahli tak perlu bayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar, kata KWSP

KWSP turut mengingatkan mereka yang berkenaan bahawa istilah yang tepat dalam konteks itu ialah “penggantian semula”.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki melalui di hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur.
Seorang lelaki melalui di hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menafikan maklumat yang tular menerusi media sosial bahawa “ahli perlu membayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar daripada KWSP”.

Sebaliknya menurut KWSP, amaun yang didahulukan daripada Akaun 1 itu akan diganti semula dengan caruman ahli pada masa depan.

“Penggantian semula ini akan dilakukan dengan 100 peratus caruman baru akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1. Setelah jumlah amaun yang diakses daripada i-Sinar diganti semula sepenuhnya, kadar pembahagian caruman akan kembali seperti biasa iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.

“Amaun penggantian semula ini akan hanya diterima daripada caruman ahli pada masa depan dan bukannya secara bayaran tunai daripada ahli yang menggunakan kemudahan i-Sinar,” kata KWSP dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

KWSP turut mengingatkan mereka yang berkenaan bahawa istilah yang tepat dalam konteks itu ialah “penggantian semula”.

“Penggunaan ayat-ayat tidak betul seperti ‘pembayaran balik’, ‘bayar semula’, ‘bayar kemudian’ dan yang seumpama menyebabkan kekeliruan kepada ramai pihak,” kata kenyataan itu.

Semalam, KWSP mengumumkan perincian dan kelayakan akses ke Akaun 1 bagi kemudahan i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan melibatkan anggaran dana berjumlah RM14 bilion.