Sunday, October 17, 2021

97 transaksi jual tanah DBKL tak ikut SOP, kata PAC

Siasatan jawatankuasa itu mendapati proses terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa, kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota.

Other News

Kaedah penyelesaian terhadap 97 transaksi penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terjual sejak 2011 tidak merujuk kepada sebarang prosedur operasi standard (SOP), kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, berdasarkan prosiding dijalankan pihaknya, PAC mendapati proses itu terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa, kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota Kuala Lumpur.

Wong berkata, pihaknya mendapati DBKL tidak mempunyai sebarang SOP bagi urusan pelupusan atau penjualan tanah miliknya.

“Hanya selepas 2015, DBKL menambah baik proses penjualan dan pelupusan tanah menerusi pemerkasaan Jawatankuasa Penswastaan melalui penyediaan senarai semak yang mempunyai prosedur yang lebih terperinci dan mendapat pengiktirafan ISO (tahun 2017),” katanya dalam satu kenyataan berhubung pembentangan Laporan PAC mengenai transaksi tanah milik DBKL di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Sepanjang prosiding dari 4 April hingga 12 November lalu, PAC memanggil bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Abd Samad, bekas peguam negara Tommy Thomas, bekas ketua pesuruhjaya suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia Mohd Shukri Abdull dan bekas datuk bandar Kuala Lumpur Nor Hisham A Dahlan.

Kata Wong, selain isu itu, PAC turut mendapati draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang diluluskan menteri berbeza dengan draf pelan dibentang kepada orang awam pada 2008 dan draf pelan yang digazet belum mendapat maklum balas semua pihak berkepentingan.

Wong berkata, pihaknya mendapati DBKL tidak mempunyai sebarang SOP bagi urusan pelupusan atau penjualan tanah miliknya.

Katanya, lebih 200 arahan pembangunan (DO) telah dikeluarkan DBKL sementara menunggu kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan ke atas pelan berkenaan yang menyebabkan kesan negatif kepada alam sekitar, penukaran kepada zon komersial dan penambahbaikan kepadatan termasuk plot ratio.

Wong berkata, PAC juga mendapati pengurusan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang mempunyai urusan pembelian tanah dengan DBKL terdedah kepada konflik kepentingan memandangkan menteri wilayah persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur turut memegang jawatan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pemegang amanahnya.

Selain itu, pengurusan YWP sebagai sebuah syarikat yang didaftar di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta Syarikat 2016) tidak dapat dipantau mana-mana pihak berkuasa termasuk Jabatan Audit Negara.

Sehubungan itu, PAC Parlimen mengesyorkan kerajaan supaya urusan penjualan dan pelupusan tanah milik DBKL perlu dijalankan secara telus, terbuka dan berdasarkan SOP yang komprehensif, selain Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dikaji semula dengan mengambil kira perubahan daripada draf asal.

Katanya, PAC turut mencadangkan supaya fungsi YWP dilihat semula selari dengan hasrat penubuhannya bagi melindungi kebajikan warga kota Kuala Lumpur, manakala statusnya diubah kepada sebuah badan berkanun bagi membolehkan pemantauan lebih efektif oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, orang ramai yang berminat meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Penjualan Tanah Milik DBKL di bawah KWP boleh memuat turun laporan berkenaan dalam laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles