- Iklan -
Berita

Wujudkan Akta Keselamatan Siber demi bela nasib mangsa penipuan

Duit mangsa yang ditipu dalam talian perlu dipulangkan semula jika terbukti bersalah.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Noh Omar (kanan) menggesa kerajaan mewujudkan akta melindungi rakyat daripada ditipu "scammer". Gambar: Bernama
Noh Omar (kanan) menggesa kerajaan mewujudkan akta melindungi rakyat daripada ditipu "scammer". Gambar: Bernama

Seorang ahli Parlimen menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan satu akta baru yang dikenali sebagai Akta Keselamatan Siber bagi membela nasib mangsa yang terlibat dengan penipuan di dalam talian.

Menurut Noh Omar (BN- Tanjong Karang) dengan adanya akta itu wang-wang mangsa yang ditipu dapat dipulangkan semula dan sekaligus menunjukkan nasib malang yang menimpa mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Katanya, undang-undang dan pelaksanaan akta itu harus melalui kajian yang teliti agar penguatkuasaannya tidak mendatangkan masalah malah memudahkan mangsa untuk mendapat semula duit mereka selepas mendapat keputusan daripada mahkamah.

“Sudah sampai Akta Sekuriti Siber kena ada dan lebih penting kalau ada dah wujudkan akta ini, mesti beri pembelaan pada mangsa, berbilion mereka ini yang tak tahu apa. Tahniah kepada Timbalan speakar dari Pengerang ketika menjadi menteri undang-undang dahulu kerana mewujudkan mahkamah khas tetapi penguatkuasaannya bagaimana nak ditekankan.

“Maka, satu undang-undang kena gubal bahawa mana-mana mangsa ini beri pembelaan duit mereka. Kalau dah putuskan di mahkamah memang dia menjadi mangsa, mana duit itu pergi, mesti buat satu undang-undang pulangkan kepada mereka tanpa perlu melalui tuntutan sivil dan sebagainya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan mengambil berat cadangan ini ekoran peningkatan kes jenayah siber khususnya mereka yang terkesan ketika pandemik Covid-19.

Pada 2018 23,778 kes dilaporkan yang melibatkan kerugian RM2.8 bilion dan meningkat pada tahun 2019 iaitu 28,508 kes yang menyebabkan kerugian keseluruhan mangsa berjumlah RM2.4 bilion.

“Kita lihat peningkatan jenayah siber setiap tahun, 2010 hanya 38 kes tapi bila 2020 dalam tempoh 10 tahun sahaja mencatatkan 52,104 kes. Sudah sampai masanya kita menggubal Akta Keselamatan Siber supaya dapat kita pusatkan bagi mengatasi masalah ini. Kalau belum bersedia hari ini mengatasi masalah ini, saya bimbang negara kita akan menjadi mangsa.

“Inilah saya harap nasib mangsa scammer ini perlu diberi pembelaan dan kalau hanya dakwa dan tiada pembelaan terhadap mangsa-mangsa ini, maka mereka tidak ada pembelaan yang kita hukum hanyalah penjenayah. Carilah jalan, buatlah undang-undang bila mereka menjadi mangsa pulangkanlah duit mereka dengan cara yang mudah.”