- Iklan -
Berita

Perak, Sarawak dipilih projek perintis lampu jalan berkuasa solar, kata menteri

Dua kampung di Perak dan Sarawak akan jadi perintis menggunakan lampu solar yang dapat jimatkan kos.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Projek lampu jalan berkuasa solar sangat menjimatkan kos. Gambar: AFP
Projek lampu jalan berkuasa solar sangat menjimatkan kos. Gambar: AFP

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan dua kampung di Sarawak dan Perak sebagai projek perintis memperkenalkan lampu jalan berkuasa solar yang dapat digunakan di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar, kata Abdul Latiff Ahmad.

Menteri pembangunan luar bandar itu berkata, projek ini dilaksanakan kerana mendapati lampu jalan berkuasa solar sangat menjimatkan kos.

“Lampu jalan berkuasa solar memang menjimatkan. Justeru itu, kementerian luar bandar sedang melakukan projek dua kampung, satu kampung di Sungai Tiang, Sungai Kejar di Ulu Perak dan di Sarawak, Kampung Long Semado dan Kampung Long Sukang bagi memastikan konsep baru LED solar dapat kita yakinkan untuk diperluaskan di seluruh negara bagi menjimatkan kos,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu- Sabak Bernam) ingin mengetahui jika kementerian bercadang untuk memperkenalkan lampu jalan berkuasa solar untuk jalan di luar bandar yang didapati lebih menjimatkan termasuk di kawasan Parlimen Sabak Bernam.

KPLB juga sudah menjalinkan kerjasama dengan kementerian tenaga dan sumber asli bagi merealisasikan pemasangan lampu solar ini sejak 2002.

Namun, katanya pada peringkat permulaan, lampu-lampu jalan di kampung dibina di atas tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kementerian perlu menjadikan syarikat itu sebagai rakan kongsi.

“Tetapi bila ada LED ini tiang dia tak perlu bergantung kepada tiang TNB dan punca menyala lampu ini daripada solar jadi tiada kaitan.

“Ekoran itu, satu dasar baru perlu dibuat dan dasar ini bermula sewaktu diberi amanah saya menjaga hal-hal kampung.

“Sabah sedikit (lampu solar) kerana proses ini perlu melalui proses yang telus, dokumennya mesti ‘transparent’, tendernya mesti terbuka supaya orang kampung dapat lampu dengan kadar yang murah.”