- Iklan -
Berita

KWSP benarkan pengeluaran sehingga RM60,000 daripada Akaun 1 melalui skim i-Sinar

2 juta ahli KWSP dijangka layak memohon pengeluaran itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pencarum boleh mula membuat permohonan Disember ini.
Pencarum boleh mula membuat permohonan Disember ini.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan skim i-Sinar, membenarkan pengeluaran wang dalam Akaun 1 untuk pencarum yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

KWSP berkata skim itu akan memberi manfaat kepada dua juta pencarum dengan anggaran dana berjumlah RM14 bilion.

“Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke bawah dalam Akaun 1, mereka mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000.

Sementara bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke atas dalam Akaun 1 pula, jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan adalah RM60,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

“Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

KWSP berkata, pengeluaran akan dibuat secara berkala sehingga enam bulan dan ahli yang layak merangkumi mereka yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

Menurut kenyataan itu, pencarum boleh mula membuat permohonan Disember ini, dengan pengeluaran pertama bermula Januari 2021 dan berbeza dengan skim i-Lestari, pemohon i-Sinar perlu menggantikan semula wang yang dikeluarkan menerusi caruman pada masa akan datang.

“Caruman baru akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima digantikan semula.

“Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,” kata kenyataan itu dan menambah KWSP menggalakkan pencarum yang ingin membuat permohonan mendapatkan nasihat kewangan daripada pihaknya atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), untuk menentukan jumlah yang ingin dikeluarkan.