- Iklan -
Berita

5 pejabat Education Malaysia luar negara ditutup

Tiada lagi pelajar Malaysia sambung belajar di Chicago, Los Angeles, Hoh Chi Minh, New Zealand dan Perth.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penutupan itu dilakukan berikutan tiada lagi pelajar luar negara dari Malaysia selain untuk menjimatkan peruntukan kerajaan. Gambar: Bernama
Penutupan itu dilakukan berikutan tiada lagi pelajar luar negara dari Malaysia selain untuk menjimatkan peruntukan kerajaan. Gambar: Bernama

Lima daripada 17 pejabat Education Malaysia di luar negara ditutup bagi melaksanakan rasionalisasi mengurangkan pertindihan peranan serta tanggungjawab dalam mewujudkan sektor awam yang dinamik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mansor Othman.

Katanya, pejabat Education Malaysia yang terlibat ialah di Chicago, Los Angeles di Amerika Syarikat, Ho Chi Minh di Vietnam, New Zealand, dan Perth, Australia.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, penutupan ini dilakukan berikutan tiada lagi pelajar luar negara dari Malaysia di lima lokasi berkenaan selain untuk menjimatkan peruntukan kerajaan.

“Bagi memperhalusi rancangan rasionalisasi, beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan pemegang taruh kementerian dan kementerian luar negeri diadakan.

“Hasilnya satu cadangan rasionalisasi pejabat Education Malaysia dikemuka kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dibentang kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Penubuhan Pemindaan dan Penutupan Pejabat Kerajaan di luar negeri pada 6 Januari 2020

“Dan jawatankuasa itu juga mencadangkan agar rasionalisasi ini dilaksanakan secara inklusif. Buat masa ini pejabat rasionalisasi sedang dikaji dan diperhalusi secara menyeluruh di peringkat pusat,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagi memperhalusi rancangan rasionalisasi, beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan pemegang taruh kementerian dan kementerian luar negeri diadakan.

Beliau menjawab pertanyaan Maszlee Malik (Bebas- Simpang Renggam) mengenai status semasa rasionalisasi pejabat-pejabat Education Malaysia di luar negara.

Menjawab berhubung perancangan untuk menarik minat pelajar luar negara ke Malaysia, Mansor memberitahu pihaknya sentiasa memandang serius dan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam melaksanakan perkara itu.

“Kementerian ambil perhatian tentang perkara itu khususnya sekarang kerajaan beri fokus utama pendidikan tinggi melalui institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai industri yang mampu meningkatkan pendapatan negara.

“Justeru itu, usaha promosi dilaksanakan bersama-sama IPTS dan universiti awam untuk mendapatkan pelajar dari luar negara di samping tingkatkan mutu dan kualiti penyampaian pembelajaran di universiti tempatan seperti mana yang diusahakan oleh Yang Berhormat Simpang Renggam dahulu,” katanya merujuk kepada Maszlee yang merupakan bekas menteri pendidikan semasa Pakatan Harapan memerintah dahulu.