- Iklan -
Berita

Muhyiddin tak perlu layan nasihat ‘banduan’ Najib, kata Dr Mahathir

Beliau berkata Najib yang sudah dijatuhkan hukuman bersalah atas pertuduhan rasuah mempunyai rekod yang buruk dalam menguruskan hal ehwal kewangan negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad

Dr Mahathir Mohamad menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar tidak perlu menerima nasihat daripada Najib Razak yang digelarnya sebagai “banduan”.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ini kerana Najib yang sudah dijatuhkan hukuman bersalah atas pertuduhan rasuah mempunyai rekod yang buruk dalam menguruskan hal ehwal kewangan negara.

“Kalau kita terima nasihat orang ini, hasilnya kita tahulah apa yang berlaku,” kata bekas perdana menteri itu seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

“Najib seorang banduan. Tidak pernah dalam sejarah negara kita seorang banduan menasihat kerajaan bagaimana hendak memerintah negara. Dia pula bukan ada latar belakang yang baik.

“Semasa pemerintahan Najiblah yang negara ini dirosak sehingga menyeluruh… hutang yang besar, pentadbiran yang terlibat dengan rasuah dan sebagainya.”

Pada 28 Julai lalu, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan jenayah bersabit dana RM42 juta dari bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu tuduhan salah guna kuasa.

“Semasa pemerintahan Najiblah yang negara ini dirosak sehingga menyeluruh… hutang yang besar, pentadbiran yang terlibat dengan rasuah dan sebagainya.”

Najib juga dihukum penjara 10 tahun atas tiga kesalahan pecah amanah dan 10 tahun lagi untuk tiga tuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, yang bagaimanapun ditangguhkan sementara rayuan Najib didengar.

Rayuan ahli Parlimen Pekan itu ditetapkan selama 15 hari bermula 15 Februari tahun depan.

Dalam wawancara bersama portal itu Mahathir berkata, Parlimen Malaysia sudah tercemar apabila Najib yang disabitkan tuduhan jenayah tetapi belum menjalani hukuman penjara, dibenarkan berbahas dan menasihati kerajaan mengenai Belanjawan 2021.

Selasa lepas, Najib berucap di Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021 sebagai jurucakap utama ahli Parlimen BN selepas baru-baru ini dilantik sebagai pengerusi BNBBC.

Mahathir berkata, apa yang berlaku itu salah daripada segi moral, biarpun mungkin dibenarkan dari segi undang-undang kerana Najib sedang menunggu rayuan.

“Di mana-mana juga dalam dunia ini kita tidak dapat seorang banduan yang dihukum dan dikenakan hukuman penjara, datang ke Dewan (Parlimen) dan menasihat kerajaan. Ini luar biasa.

“Cuma Malaysia saja yang boleh berbangga bahawa banduan pun nasihat kerajaan. Ini menunjukkan kerajaan ini tidak cekap sehingga banduan pun boleh tegur.

“Inilah yang menjadikan Dewan kita tercemar kerana perbuatan ini,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

Semalam semasa membahaskan Belanjawan 2021, Mahathir meluahkan kehairanannya bagaimana ada “banduan” boleh berucap di Dewan Rakyat tetapi perbicaraan di mahkamah dihentikan, untuk membendung penularan Covid-19.

Ucapan Najib yang seolah-olah menggambarkan beliau tidak bersalah menyebabkan Maria Chin Abdullah (PKR-Petaling Jaya) memprotes dengan meninggalkan Dewan Rakyat pada Selasa.

Tindakan Maria itu disambut dengan kemarahan Pemuda PKR yang menggelarkan bekas pengerusi Bersih 2.0 itu sebagai “bodoh” dan “bebal“.

Veteran DAP Lim Kit Siang pula berkata Najib langsung menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap kesan skandal 1MDB kepada ekonomi dan menyebabkan negara terpaksa menanggung beban hutang daripada jenayahnya.

Bagaimanapun, ucapan Najib di Dewan Rakyat pada Selasa mendapat pujian daripada Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

“Quote of the day: Rakyat minta KWSP, dapat PKPB! @NajibRazak,” tulis ahli Parlimen Tanjong Malim itu di Twitter.