- Iklan -
Berita

Bekas pelajar Universiti Malaya tak mengaku bersalah ingkar arahan polis

Lelaki itu didakwa mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh ASP Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
Kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Bekas presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengingkari arahan seorang pegawai polis ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah, Sabtu lepas.

Wong Yan Ke, 24, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh ASP Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48, di Petaling Jaya, pada 7 November lepas.

Graduan jurusan Kejuteraan Awam dari Universiti Malaya itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Atifah Hazimah Wahab menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh mengambil kira kes itu melibatkan kepentingan awam dan telah tular di laman sosial.

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Wong memohon supaya anak guamnya dikenakan bon tanpa cagaran memandangkan hukuman yang diperuntukan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan adalah rendah.

“Beliau kini bekerja di sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan berpendapatan RM2,600 sebulan.

“Selain itu, ketika ditahan tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa. Dia tidak akan melarikan diri dan mengganggu mangsa. Jika mahkamah menolak cadangan bon ini, mohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum,” katanya

Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Februari untuk sebutan semula kes.

Sabtu lepas, Bernama melaporkan seorang lelaki ditahan ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya berhubung siasatan kes Akta Hasutan melibatkan persatuan Umany.

mahkamah, halang, penjawat awam, Umany, presiden, video

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.