- Iklan -
Berita

Pencemaran air di Selangor perbuatan disengajakan, kata MB

Penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi menentang golongan yang telah banyak menyebabkan kesusahan kepada rakyat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kelihatan seorang bapa bersama anaknya menaiki motosikal sambil membawa bekalan air yang diambil dari tangki air awam yang disediakan di sebelah padang bola Hospital Kuala Lumpur di Lorong Raja Muda Abd Aziz berikutan gangguan bekalan air akibat pencemaran bau Sungai Selangor. Gambar: Bernama
Kelihatan seorang bapa bersama anaknya menaiki motosikal sambil membawa bekalan air yang diambil dari tangki air awam yang disediakan di sebelah padang bola Hospital Kuala Lumpur di Lorong Raja Muda Abd Aziz berikutan gangguan bekalan air akibat pencemaran bau Sungai Selangor. Gambar: Bernama

Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan insiden pencemaran air sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk di Lembah Klang sengaja dilakukan pihak tertentu bagi memburuk-burukkan imej pentadbiran negeri itu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya tidak akan berputus asa melakukan penguatkuasaan secara berterusan bagi menentang golongan itu yang telah banyak menyebabkan kesusahan kepada rakyat.

“Seperti kes pencemaran terbaharu pada Selasa lepas, premis yang disyaki menjadi lokasi pembuangan sisa bahan kimia difahamkan baru sahaja disewa dua minggu lepas dan saya yakin, ini merupakan tindakan sengaja oleh sesetengah pihak untuk menjejaskan imej kerajaan negeri.

“Saya memohon semua pihak berkuasa termasuk polis untuk bekerjasama kerana kuasa kerajaan negeri adalah terhad,” katanya ketika diminta mengulas tindakan pentadbiran itu terhadap kilang yang didapati mencemar sumber air di Selangor.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan inisiatif E-Bazar Deepavali dan Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) Yayasan Hijrah Selangor di sini hari ini.

Amirudin juga berkata pihaknya telah mengheret beberapa pemilik kilang yang berlesen ke mahkamah kerana mengakibatkan pencemaran kepada sumber air.

“Seperti contoh baru-baru ini, sebuah kilang di Kundang, Rawang milik seorang pengerusi persatuan telah didakwa kerana melakukan pencemaran. Jika ia dilakukan oleh kilang haram, kita akan arahkan ia ditutup seperti yang dilakukan ke atas sebuah kilang di Sungai Gong,” katanya.

“Saya memohon semua pihak berkuasa termasuk polis untuk bekerjasama kerana kuasa kerajaan negeri adalah terhad,” katanya ketika diminta mengulas tindakan pentadbiran itu terhadap kilang yang didapati mencemar sumber air di Selangor.

Selangor dan Lembah Klang mengalami beberapa siri gangguan bekalan air sepanjang tahun ini ekoran pencemaran sungai dengan yang terbaru pada Selasa lepas sehingga menimbulkan pelbagai reaksi rakyat yang rata-rata meluahkan perasaan marah di media sosial.

Mengulas inisiatif E-Bazar Deepavali, Amirudin berkata ia merupakan aktiviti simbolik yang diwujudkan bagi membantu usahawan berbangsa India memasarkan produk mereka sempena perayaan itu susulan pembatalan bazar secara fizikal akibat penularan pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melancarkan E-Bazar Deepavali dengan kerjasama platform dalam talian seperti Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC), KoHijrah Mall dan Meniaga.my bagi memasarkan produk serta menjana pendapatan semasa musim perayaan ini,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan geran peralatan Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) 2020 kepada 175 penerima.

Katanya geran Sitham diberikan dalam bentuk peralatan dengan nilai maksimum RM10,000 kepada setiap pemohon yang layak untuk memajukan perniagaan mereka.