- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Kepong dihalau keluar, digantung 5 hari

Gelar Timbalan Spealer sebagai ‘bodoh’ satu provokasi yang tidak boleh diterima.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Lim Lip Eng digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat 5 hari.
Lim Lip Eng digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat 5 hari.

Lim Lip Eng (DAP- Kepong) digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama lima hari susulan tindakannya menghina dan mempersoalkan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said, ketika sidang Dewan Rakyat semalam.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengeluarkan arahan itu selepas wakil rakyat DAP itu menyifatkan keputusan terhadap kenyataan Tiong King Sing (GPS-Bintulu) terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, sebagai keputusan “bodoh”.

“Macam mana awak boleh kata rulling Speaker bodoh!,” soal Azhar.

Beliau juga menuduh Azhar bersekongkol dengan Tiong untuk menghina petugas barisan hadapan, menyebabkan speaker mengarahkan beliau keluar Dewan Rakyat dan menggantungnya.

Pada mulanya Azhar hanya menggantung Lim selama dua hari namun disebabkan kedegilannya untuk mengikut arahan dan terus bertekak dengan speaker membuatkan Azhar menukar kepada lima hari dan meminta polis untuk masuk bagi membawa keluar ahli Parlimen Kepong itu.

“Kamu keluar, kalau tidak saya panggil polis.”

Pertikaian itu bermula apabila Lim Guan Eng (DAP- Bagan) meminta Azhar untuk melihat kembali keputusan yang dibuat Azalina berhubung kenyataan Tiong yang didakwa menghina Noor Hisham semalam.

Namun menurut Azhar keputusan itu sudah dibuat dan “tidak baik” jika dia mengubah keputusan berkenaan.

“Saya dah baca hansard. Saya berpendapat retorika bahasa dan penggunaan kata amat besar dan saya perhalusi hansard dan apabila ruling dah dibuat itu final (muktamad) maka saya tidak ada kuasa revisit (kaji semula),” kata Azhar.

Semalam kenyataan Tiong yang menyifatkan Noor Hisham “takut mati” kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri itu mencetuskan kekecohan di dalam Dewan Rakyat hingga menyebabkan R S N Rayer (DAP- Jelutong) digantung dua hari.

“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown awal-awal di penjara,” kata wakil rakyat dari Sarawak itu.

Azalina ketika itu memberi dua pilihan kepada Tiong sama ada untuk menarik balik kenyataannya atau menjelaskan perkara yang disebutkannya.

Bagaimanapun, Tiong tetap enggan menarik balik kenyataannya.

“Ini suara petugas barisan hadapan, jadi saya tidak mahu tarik balik. Selalu (Noor Hisham) hantar orang. Dia kena pergi jugalah,” tegas Tiong.