- Iklan -
Berita

Hutang RM14.66 bilion era Najib bebankan kerajaan

Ia termasuk hutang berkaitan 1MDB, Tabung Haji dan beberapa projek berskala besar.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Putrajaya kini masih dibebani hutang berjumlah RM14.6 bilion yang diwarisi daripada era pentadbiran Najib Razak, ketika bekas perdana menteri itu dilihat berganding bahu dengan ahli Parlimen pembangkang mengkritik Belanjawan 2021 yang dikatakan tidak cukup untuk membantu rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Hutang itu termasuk projek bernilai RM1.5 bilion melibatkan SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat subsidiari yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga faedah pinjaman sebanyak RM1.7 bilion, menurut penelitian rekod kewangan oleh MalaysiaNow.

Pada Julai lalu, Najib didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang membabitkan RM42 juta dana SRC.

Dana itu merupakan sebahagian daripada dua pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang bernilai RM4 bilion.

Hutang lain yang turut warisi termasuk pinjaman untuk projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Pan Borneo berjumlah RM 3.7 bilion, dan bayaran faedah pinjaman projek Transit Aliran Ringan (LRT) berjumlah RM1.5 bilion.

Malah, kerajaan turut dibebani hutang pembiayaan semula syarikat tujuan khas (SPV) Pembinaan PFI Sdn Bhd berjumlah sehingga RM2.66 billion.

Urusan pembelian saham Felda dalam syarikat gergasi peladangan di Indonesia, Eagle High Plantations turut meninggalkan hutang berjumlah RM1.7 bilion kepada kerajaan.

Dana itu merupakan sebahagian daripada dua pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang bernilai RM4 bilion.

Kerajaan juga perlu menanggung kos penstrukturan semula Tabung Haji dan Felda.

Turut dilaporkan syarikat milik kementerian kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) perlu memperuntukan kira-kira RM20 bilion bagi memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji.

Semalam, Najib dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2021 senada dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim menuntut sekurang-kurangnya dua pindaan dalam belanjawan.

Tuntutan itu termasuk membenarkan pengeluaran sekali beri atau “one off” berjumlah RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta melanjutkan tempoh moratorium selama enam bulan.